Tanggungjawab bina ekonomi sejahtera

26 Jun 2026, 3:00 AM
Tanggungjawab bina ekonomi sejahtera

Perancangan ekonomi bukan sekadar persoalan pertumbuhan angka dan peningkatan pendapatan negara. Dalam Islam, ekonomi adalah sebahagian daripada usaha membina kehidupan yang sejahtera, menjaga maruah manusia dan menjamin kelangsungan generasi akan datang.

Oleh itu, perancangan ekonomi rakyat untuk masa depan perlu dibina di atas asas yang kukuh, dengan memberi tumpuan kepada tiga perkara utama, iaitu jaminan makanan, tempat tinggal dan pembinaan keluarga yang sejahtera.

Islam memandang ketiga-tiga perkara ini sebagai keperluan asas yang berkait rapat dengan maqasid syariah, khususnya dalam menjaga nyawa (hifz al-nafs), keturunan (hifz al-nasl) dan harta (hifz al-mal).

Sesebuah negara yang gagal menjamin perkara-perkara asas ini akan berdepan dengan pelbagai masalah sosial, kemiskinan, keruntuhan institusi keluarga dan jurang ekonomi yang semakin melebar.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan Pemilik rumah ini, yang telah memberi mereka makanan untuk menghilangkan lapar dan memberikan mereka keamanan daripada ketakutan.” (Surah Quraisy: 3-4)

Ayat ini menunjukkan bahawa antara nikmat terbesar yang Allah kurniakan kepada manusia ialah jaminan makanan dan keamanan. Tanpa kedua-duanya, kehidupan manusia tidak akan mencapai kestabilan.

Pertama: Keterjaminan makanan

Makanan merupakan keperluan paling asas dalam kehidupan manusia. Sebab itu, Islam menganjurkan manusia supaya bekerja, bercucuk tanam dan membangunkan sumber ekonomi yang mampu menjamin bekalan makanan secara berterusan.

Keterjaminan makanan

Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidaklah seseorang memakan makanan yang lebih baik daripada hasil usaha tangannya sendiri.” (Riwayat al-Bukhari)

Justeru, perancangan ekonomi rakyat perlu memberi penekanan kepada sektor makanan dan pertanian. Negara perlu memperkukuhkan industri padi, ternakan, perikanan dan pengeluaran makanan tempatan agar tidak terlalu bergantung kepada import luar.

Dalam kerangka maqasid syariah, keterjaminan makanan merupakan sebahagian daripada usaha menjaga nyawa manusia (hifz al-nafs).

Kelaparan dan kekurangan bekalan makanan bukan sahaja mengancam kesihatan masyarakat, bahkan boleh membawa kepada peningkatan jenayah, pergolakan sosial dan ketidakstabilan negara.

Selain itu, budaya pembaziran makanan perlu dibendung. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang membazir.” (Surah al-A’raf: 31)

Kedua: Tempat tinggal selesa

Rumah bukan sekadar bangunan untuk berteduh, bahkan merupakan tempat lahirnya kasih sayang, pendidikan dan pembangunan insan.

Kediaman selesa

Allah SWT berfirman:

“Dan Allah menjadikan rumah-rumah kamu sebagai tempat ketenangan bagi kamu.” - (Surah al-Nahl: 80)

Perkataan ‘sakanan’ dalam ayat ini menunjukkan bahawa rumah merupakan sumber ketenteraman dan kestabilan hidup manusia.

Oleh sebab itu, antara agenda penting dalam perancangan ekonomi rakyat ialah memastikan setiap keluarga mempunyai akses kepada tempat tinggal yang selesa, selamat dan mampu dimiliki.

Kerajaan dan masyarakat perlu memperbanyakkan projek perumahan mampu milik, mengawal kenaikan harga rumah yang melampau serta memperkenalkan skim pembiayaan yang tidak membebankan rakyat.

Dari sudut maqasid syariah, memiliki tempat tinggal yang sempurna termasuk dalam usaha menjaga nyawa dan harta manusia. Ketiadaan tempat tinggal yang sesuai boleh membawa kepada pelbagai masalah sosial, tekanan hidup dan keruntuhan institusi keluarga.

Ketiga: Bina keluarga sejahtera

Keluarga adalah asas kepada pembinaan masyarakat dan negara. Sesebuah bangsa yang memiliki keluarga yang stabil akan melahirkan generasi yang kuat dan berdaya saing.

Keluarga sejahtera

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untuk kamu pasangan daripada jenis kamu sendiri agar kamu memperoleh ketenangan daripadanya, dan Dia menjadikan antara kamu kasih sayang dan rahmat.” (Surah al-Rum: 21)

Nabi SAW juga bersabda yang bermaksud:

“Wahai para pemuda, sesiapa dalam kalangan kamu yang mempunyai kemampuan, maka hendaklah dia berkahwin.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menunjukkan bahawa kemampuan ekonomi mempunyai hubungan yang rapat dengan pembinaan keluarga.

Maka, perancangan ekonomi rakyat hendaklah memberi perhatian kepada peluang pekerjaan yang baik, gaji yang munasabah, perlindungan sosial, pendidikan berkualiti dan bantuan kepada pasangan muda agar mereka mampu membina keluarga yang stabil.

Dalam maqasid syariah, pembinaan keluarga yang sihat merupakan sebahagian daripada usaha menjaga keturunan (hifz al-nasl). Keruntuhan institusi keluarga akan membawa kepada pelbagai masalah seperti jenayah, kemiskinan, tekanan mental dan kerosakan masyarakat.

Kesimpulan

Perancangan ekonomi rakyat untuk masa depan tidak seharusnya hanya diukur melalui pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau peningkatan pelaburan semata-mata.

Ukuran sebenar kejayaan sesebuah negara ialah sejauh mana rakyatnya memiliki jaminan makanan, tempat tinggal yang bermaruah dan keluarga yang sejahtera.

Al-Quran dan hadis memberikan asas yang jelas bahawa kesejahteraan manusia bermula dengan pemeliharaan keperluan asas mereka. Selaras dengan maqasid syariah, dasar ekonomi yang baik ialah dasar yang menjaga nyawa, harta dan keturunan manusia.

Dengan menjadikan tiga perkara ini sebagai keutamaan, negara bukan sahaja dapat melahirkan masyarakat yang makmur, bahkan mampu membina tamadun yang stabil, berakhlak dan berdaya tahan untuk menghadapi cabaran masa depan.

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.