Pakar ekonomi: Pendekatan RS-1 perkukuh pertumbuhan ekonomi

23 Jul 2026, 1:00 AM
Pakar ekonomi: Pendekatan RS-1 perkukuh pertumbuhan ekonomi
Pakar ekonomi: Pendekatan RS-1 perkukuh pertumbuhan ekonomi

SHAH ALAM, 23 JUL: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) mengubah pendekatan pembangunan negeri, daripada berasaskan projek kepada kerangka lebih strategik dan berpaksi kepada pencapaian hasil.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kejayaan utama RS-1 antaranya memperkenal pelan pembangunan negeri yang lengkap dengan keutamaan jelas dan sasaran yang boleh diukur.

Katanya, kaedah itu membantu pentadbiran negeri untuk menyelaras dasar dengan lebih berkesan, mengagih sumber lebih cekap dan memberi tumpuan kepada sektor pertumbuhan masa depan.

"RS-1 mengubah pendekatan pembangunan Selangor daripada pelaksanaan projek secara berasingan kepada kerangka perancangan yang lebih tersusun dan berorientasi hasil," katanya kepada Media Selangor.

RS-1 yang meliputi tempoh 2021 hingga 2025 dilancarkan secara rasmi pada Julai 2022.

Pelan itu memberi tumpuan kepada empat tema iaitu memperkukuh ekonomi, menjamin keterangkuman sosial dan kesejahteraan rakyat, memacu kelestarian alam sekitar dan memperkukuh tadbir urus yang berkesan.

Sebanyak 14 indikator makro dalam RS-1 antaranya mewujudkan peluang pekerjaan kepada kira-kira 97 peratus tenaga buruh negeri, mengurangkan kadar kemiskinan mutlak kepada 0.7 peratus dan kemiskinan relatif kepada 11 peratus, memastikan bekalan air bersih harian mencukupi serta mendigital 85 peratus perkhidmatan kerajaan secara hujung ke hujung.

Pemandangan dari udara kelihatan barisan kontena yang dieksport masuk ke Malaysia dan kemudahan yang tersedia di Pelabuhan Barat di Pelabuhan Klang. Foto westportholding.com

Menurut Dr Mohd Afzanizam, RS-1 dianggap berjaya kerana menyediakan hala tuju pembangunan Selangor di samping membantu negeri mencatat pertumbuhan ekonomi kukuh meski berdepan cabaran global.

"Sepanjang tempoh pelaksanaannya, Selangor kekal sebagai penyumbang terbesar kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia serta terus menarik pelaburan walaupun berhadapan cabaran seperti pemulihan pascapandemik, ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi global.

"Walaupun asas ekonomi Selangor yang kukuh sememangnya menyokong pertumbuhan negeri, RS-1 membantu memastikan pembangunan dilaksanakan secara lebih terselaras, strategik dan sejajar dengan keutamaan jangka panjang," katanya.

Bawah RS-1, Selangor menetapkan sasaran pertumbuhan KDNK 6.5 hingga 7.0 peratus antara 2021 hingga 2025. Bagaimanapun, negeri itu mengatasi sasaran apabila mencatat pertumbuhan purata 7.3 peratus bagi tempoh 2021 hingga 2024.

Dalam masa sama, Selangor juga mencatat purata pelaburan diluluskan sebanyak RM66 bilion, jauh melepasi sasaran tahunan antara RM30 bilion hingga RM35 bilion.

Menurut Dr Mohd Afzanizam, pelan itu membantu Selangor memberi tumpuan kepada sektor strategik seperti ekonomi digital, kelestarian dan industri bernilai tinggi yang penting bagi meningkatkan daya saing ekonomi dalam jangka panjang.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kejayaan pelan pembangunan jangka sederhana itu pada masa depan banyak bergentung kepada keberkesanan pelaksanaannya.

"Pengajaran utama daripada RS-1 ialah perancangan yang baik perlu disokong dengan pelaksanaan yang berkesan.

"Pada masa depan, kerajaan negeri perlu memperkukuh pelaksanaan, meningkatkan ketelusan serta memberi penekanan lebih besar terhadap produktiviti, inovasi dan pembangunan bakat," katanya.

Beliau berpandangan sebarang pelan pembangunan perlu memastikan pertumbuhan ekonomi kekal inklusif dan berdaya tahan bagi membolehkan Selangor berdepan kejutan serta ketidaktentuan ekonomi.

Pencapaian Ekonomi RS-1. GRAFIK AZWA MALEK

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.