Baiki segera penutup longkang, suis tanpa penutup dekat dua sekolah di Kajang - ADN

25 Jun 2026, 1:46 AM
Baiki segera penutup longkang, suis tanpa penutup dekat dua sekolah di Kajang - ADN

SHAH ALAM, 25 JUN: Tindakan segera perlu diambil bagi membaiki penutup longkang pecah dan suis papan elektrik tanpa penutup berhampiran dua sekolah di Kajang yang boleh mengundang risiko keselamatan.

Perkara itu dibangkitkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang David Cheong Kian Young selepas meninjau keadaan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Kajang dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yu Hua Kajang.

Menurutnya, pemeriksaan di hadapan SK Kajang mendapati sebuah penutup longkang berada dalam keadaan rosak sehingga boleh membahayakan pengguna jalan raya dan pejalan kaki.

"Di hadapan SK Kajang, saya mendapati terdapat penutup longkang yang pecah dan berada dalam keadaan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya serta pejalan kaki.

"Keadaan ini amat membimbangkan memandangkan kawasan tersebut sering digunakan oleh murid-murid, ibu bapa dan penduduk setempat setiap hari," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam tinjauan di hadapan SJK(C) Yu Hua Kajang pula, beliau mendapati sebuah suis papan elektrik masih tidak mempunyai penutup walaupun difahamkan telah dilaporkan kepada pihak berkaitan kira-kira enam bulan lalu.

Beliau turut mengesan beberapa kabel yang berselerak di kawasan sama, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan, terutama dalam persekitaran sekolah.

"Saya berharap pihak berkaitan menyegerakan kerja pembaikan supaya kemudahan awam di kawasan berkenaan berada dalam keadaan selamat dan kejadian tidak diingini dapat dielakkan," katanya.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.