SHAH ALAM, 24 JUN: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda beberapa kawasan di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Negeri Sembilan sehingga 4 petang.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan di Selangor, hujan lebat dijangka melanda daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak dan Petaling.
Cuaca sama dijangka melanda seluruh Pulau Pinang, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Melaka.
Di Kedah, kawasan terlibat ialah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu.
Sementara di Kelantan membabitkan Jeli dan Kuala Krai, Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Jerantut, Maran, Kuantan dan Rompin).
Di Negeri Sembilan Kawasan terlibat ialah Jelebu, Seremban, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin sementara Johor pula di Segamat, Batu Pahat, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir berlaku atau dijangka berterusan lebih sejam.
Orang awam dinasihat sentiasa merujuk laman sesawang rasmi MetMalaysia di www.met.gov.my, mengikuti media sosial mereka serta memuat turun aplikasi myCuaca untuk mendapatkan maklumat terkini dan tepat.










