Dua anggota polis parah diserang penagih dadah ketika operasi

24 Jun 2026, 12:39 AM
Dua anggota polis parah diserang penagih dadah ketika operasi

SHAH ALAM, 24 JUN: Dua anggota polis cedera parah selepas diserang menggunakan pisau oleh seorang lelaki dipercayai penagih dadah ketika menjalankan operasi di Kampung Sungai Jernih, Ijok, Selama, Perak tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, seorang konstabel mengalami kecederaan serius di bahagian muka manakala seorang sarjan cedera di kepala, lengan dan perut selepas diserang suspek yang bertindak agresif ketika cuba diberkas.

Menurut sumber, kedua-dua anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama itu menerima maklumat mengenai kehadiran seorang lelaki disyaki penagih dadah yang berada di sebuah pondok di kampung berkenaan.

Susulan maklumat tersebut, mereka diarahkan menjalankan pemantauan sebelum bertindak menahan suspek yang dipercayai berusia lingkungan 30-an.

Bagaimanapun, suspek bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis di lokasi kejadian.

Salah seorang anggota berjaya menahan lelaki itu, namun berlaku pergelutan sebelum suspek dipercayai mengeluarkan sebilah pisau kecil lalu menyerang anggota terbabit.

"Akibat serangan itu, konstabel berkenaan mengalami torehan panjang di muka dari bahagian dahi hingga ke pipi selain kecederaan pada lengan kanan.

"Seorang lagi anggota berpangkat sarjan yang cuba membantu rakannya turut diserang sehingga mengalami kecederaan di kepala, lengan dan bahagian atas perut," katanya seperti dilapor Harian Metro.

Selepas menyerang kedua-dua anggota polis itu, suspek melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.

Kedua-dua anggota polis terbabit kemudian mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Selama.

Berikutan kejadian itu, polis melancarkan operasi mengesan suspek termasuk melaksanakan Op Tutup di semua laluan keluar masuk kawasan berkenaan.

Setakat ini, suspek masih diburu manakala siasatan lanjut sedang dijalankan.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.