Lebih 70 peratus penagih dadah golongan belia - AADK

10 Mei 2026, 7:33 AM
Lebih 70 peratus penagih dadah golongan belia - AADK
Lebih 70 peratus penagih dadah golongan belia - AADK
Lebih 70 peratus penagih dadah golongan belia - AADK

GOMBAK, 10 MEI: Lebih 70 peratus penagih dadah di negara ini terdiri daripada golongan belia berusia antara 18 hingga 40 tahun sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata seramai lebih 191,000 penagih direkodkan ditahan dalam tempoh itu, dengan majoritinya terdiri daripada golongan muda.

“Kira-kira 50,000 individu kini berada dalam pengawasan AADK manakala 5,000 lagi ditempatkan di pusat pemulihan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) yang ditahan untuk tempoh dua tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah anjuran AADK Selangor di Dewan Komuniti, Kampung Kemensah, Ulu Klang di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ruslin berkata gejala penagihan dadah semakin membimbangkan apabila terdapat kes melibatkan kanak-kanak seawal usia 12 tahun.

Beliau turut mendedahkan trend penggunaan rokok elektronik atau vape yang dicampur cecair “mushroom” mengandungi bahan terlarang menjadi antara faktor utama golongan belia terjebak dengan dadah.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berucap ketika perasmian penutupan Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) “Jelajah Aspirasi Gombak:Kita Turun Padang bersempena Hari Belia Negara 2026 di Dewan Komuniti Kampung Kemensah, Ulu Klang pada 10 Mei 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Terdapat kes di Kelantan membabitkan seorang remaja yang mula terjebak dengan dadah pada usia 12 tahun dan kini sedang menerima rawatan di Kota Bharu pada usia 14 tahun.

“Anak-anak kita di sekolah, orang muda ini sudah mengenali kandungan cecair mushroom di dalam rokok elektronik (vape). Cecair yang mereka hisap itu adalah dadah yang paling bahaya sekarang,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru ibu bapa agar lebih peka dan memainkan peranan dalam melakukan intervensi awal dengan menyalurkan maklumat kepada AADK bagi membolehkan rawatan segera diberikan.

“Mengikut pengalaman AADK, mereka yang terlibat ditahan di pusat pemulihan mengalami masalah mental.

“Keberangkalian untuk membunuh diri terlalu tinggi, hidup kecewa, halusinasi dan suara-suara luar datang pada mereka. Jadi perhatian yang betul perlu diberikan oleh ibu bapa,” ujarnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.