2,145 individu tawar diri untuk rawatan, isyarat jelas penjara bukan penyelesaian krisis dadah

1 Nov 2026, 2:00 AM
2,145 individu tawar diri untuk rawatan, isyarat jelas penjara bukan penyelesaian krisis dadah
2,145 individu tawar diri untuk rawatan, isyarat jelas penjara bukan penyelesaian krisis dadah

Kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail baru-baru ini mengenai kadar penyalahgunaan dadah yang kritikal di Terengganu, Kelantan, Kedah, dan Perlis telah memberikan satu gambaran yang amat mendalam tentang hakikat krisis dadah di negara ini.

Data yang dibentangkan membuktikan bahawa isu penagihan bukanlah sekadar masalah jenayah terpencil, tetapi ia berakar umbi daripada kelemahan struktur sosioekonomi, ketiadaan peluang pekerjaan, dan tahap pendidikan.

Namun, jika kita menelusuri rentetan kenyataan Menteri Dalam Negeri dengan lebih teliti, penyelesaian kepada krisis di empat negeri ini sebenarnya telah pun dijawab oleh beliau sendiri pada Ogos lalu.

Ketika itu, Datuk Seri Saifuddin menyatakan bahawa pindaan ke atas Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283) - yang memberikan lebih banyak ruang kepada rawatan berbanding hukuman - telah terbukti berkesan apabila seramai 2,145 individu secara sukarela tampil untuk mendapatkan rawatan pemulihan.

Pencapaian ini adalah manifestasi langsung bahawa apabila kerajaan mengurangkan pendekatan punitif (hukuman) dan membuang bayang-bayang ketakutan terhadap tindakan undang-undang jenayah, pengguna dadah sebenarnya mahu dan bersedia untuk dipulihkan.

Bagi Drug Policy Program Malaysia (DPPM), kedua-dua kenyataan ini tidak wajar dilihat secara berasingan. Ia harus dirangkaikan untuk membentuk satu anjakan paradigma yang mendesak: langkah ke arah dekriminalisasi penggunaan dadah secara menyeluruh kini bukan lagi satu teori, tetapi satu keperluan praktikal yang disokong oleh data kerajaan sendiri.

“Penggunaan dadah tidak hanya disebabkan oleh satu faktor sahaja. Ia terjadi kerana hubung kait antara faktor biologi, psikologi dan sosial.”

“Akibat penggunaan dadah juga bukan terhad kepada isu sosial semasa dan keselamatan, tetapi juga kesan kepada kesihatan fizikal dan mental,” menurut Dr. Mohd Fadzli Isa, penasihat DPPM dan Ketua Unit Psikiatri Ketagihan (PAdU) di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Kuala Lumpur.

Hubung kait ketagihan dan pengangguran: Hukuman memburukkan keadaan 

Menteri Dalam Negeri mendedahkan bahawa di empat negeri yang merekodkan kes tertinggi tersebut, majoriti pengguna dadah terdiri daripada belia dalam usia produktif (15-39 tahun) dengan kelulusan SPM ke bawah, dan paling membimbangkan, golongan penganggur mendahului senarai.

Kenyataan ini mengesahkan pendirian sekian lama para penyokong dasar kesihatan awam: penggunaan dadah adalah simptom kepada isu yang lebih besar, iaitu kemiskinan dan kelangsungan hidup.

Apabila kita memenjarakan individu dari kumpulan rentan ini atau merekodkan mereka sebagai "penjenayah" hanya kerana menggunakan dadah untuk kegunaan peribadi, kita sebenarnya memotong terus peluang mereka untuk membina hidup yang lebih baik.

Sebuah rekod jenayah akan memastikan seorang penganggur terus kekal menganggur. Akibatnya, mereka akan terperangkap dalam kitaran kemiskinan dan tekanan mental yang akhirnya mendorong mereka kembali kepada penagihan (relapse). Menghukum pengguna dadah dengan penjara seolah-olah menghukum mereka kerana menjadi miskin dan tidak bernasib baik.

Mengapa dekriminalisasi dan rawatan lebih berkesan? 

Dekriminalisasi tidak bermaksud menghalalkan aktiviti pengedaran atau penjualan dadah. Ia bermaksud mengalihkan kesalahan penggunaan peribadi daripada sistem keadilan jenayah kepada sistem kesihatan awam.

Hujah ini diperkukuhkan lagi oleh data bulan lalu, di mana pendekatan yang tidak menghukum secara drastik berjaya menggalakkan lebih dua ribu pengguna dadah untuk keluar dari persembunyian dan mendapatkan bantuan pakar secara sukarela.

Jika ketakutan terhadap pendakwaan jenayah dihapuskan sepenuhnya melalui dekriminalisasi, angka mereka yang berjaya diselamatkan pasti akan melonjak jauh lebih tinggi.

Menurut Dr. Mohd Fadzli, “Dekriminalisasi dadah berperanan untuk menggalakkan pengguna dadah mendapatkan rawatan secara sukarela sekali gus membuka lebih banyak pilihan rawatan dan pemulihan sambil mengekalkan kefungsian hidup sedia ada.”

Tambahan pula, data terbaharu menunjukkan 84 peratus daripada pengguna ini bergantung kepada dadah sintetik atau Amphetamine-Type Stimulants (ATS).

Perlu ditegaskan bahawa ketagihan kepada ATS tidak boleh dirawat menggunakan kaedah kurungan, jeriji besi, atau disiplin ala-ketenteraan. Ia memerlukan intervensi perubatan yang komprehensif, sokongan psikiatri, terapi tingkah laku kognitif (CBT), serta sokongan komuniti berterusan.

Ia juga harus dihubungkan dengan sistem sosial yang mantap dari segi tempat tinggal, pendidikan dan pekerjaan.

Pendekatan dekriminalisasi membolehkan dana jutaan ringgit yang sebelum ini dihabiskan untuk menanggung kos operasi penjara dan pusat penahanan disalurkan terus kepada pembinaan fasiliti kesihatan mental dan klinik rawatan di daerah-daerah berisiko tinggi seperti Langkawi, Pendang, dan Kuala Krai.

Data menuntut perubahan dasar

Kami memuji hasrat kepimpinan Kementerian Dalam Negeri yang kini mahu berpaksikan pendekatan berasaskan data (data-driven). Data telah pun membuktikan dua perkara penting: pertama, pendekatan jenayah telah gagal melindungi belia yang menganggur di Terengganu, Kelantan, Kedah, dan Perlis.

Kedua, pendekatan rawatan dan pemulihan sukarela terbukti berfungsi apabila 2,145 individu secara rela hati menyerah diri untuk dirawat bulan lalu.

Sudah tiba masanya kerajaan menghentikan perang terhadap pengguna dadah. Gabungkan pengajaran daripada kedua-dua data ini dan beranikan diri untuk melangkah ke fasa seterusnya.

Kita perlu merawat belia kita dengan belas kasihan dan penjagaan kesihatan, bukannya mengunci masa depan mereka di sebalik tirai besi. Rawatan dan pemulihan berfungsi, manakala penjara hanya memusnahkan potensi.

*Kenyataan Drug Policy Program Malaysia (DPPM) di bawah naungan Yayasan AIDS Malaysia (MAF)

Kategoripendapat

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.