KUALA LUMPUR, 1 JUN: Reformasi dasar dadah perlu memberi keutamaan kepada rawatan dan pemulihan berbanding terus dikenakan hukuman penjara, kata Pegawai Teknikal Kanan Drug Policy Program Malaysia (DPPM).
Farid Zuhri Ismail berkata reformasi undang-undang perlu berteraskan Rahmah dan Maqasid Syariah bagi menangani isu penagihan secara lebih berkesan.
Menurutnya, undang-undang sedia ada yang telah digunakan sejak puluhan tahun lalu dilihat tidak berjaya mengurangkan masalah penagihan dan penyalahgunaan dadah secara signifikan.
"Yang penting sekali, kertas kerja yang kami cuba bawa ini membawa satu semangat Maqasid Syariah untuk melihat dari kaca mata Islam bahawasanya pemulihan dan rawatan harus diutamakan berbanding semata-mata hukuman.
"Kita tak nak mereka terus dihukum tanpa diberikan bantuan terlebih dahulu, tanpa diberikan peluang kedua. Pintu taubat itu sentiasa terbuka. Di bawah semangat reformasi, semangat islah itu sentiasa ada," katanya kepada Media Selangor.

Beliau ditemui pada Majlis Pelancaran Kertas Kerja: Ke Arah Polisi Dadah Berteraskan Rahmah dan Maqasid Syariah di Hotel Kingston 10, Bukit Jalil di sini, semalam.
Farid berkata akta dadah wajar dinilai semula kerana tidak mengambil kira realti penagihan.
Katanya, undang-undang sedia ada tidak membezakan penagih dengan pengguna lain, menyebabkan mereka dilayan sebagai penjenayah.
"Satu kajian antarabangsa menunjukkan bahawa ada spektrum mereka yang penagihan ini hanyalah 10 ke 20 peratus saja dalam satu spektrum besar penggunaan dadah. Ada yang eksperimental, ada yang gunakan secara suka-suka, ada yang gunakan secara bulanan atau kerana kerja.
"Undang-undang yang sedia ada tidak melihat perkara ini, dia tidak membezakan. Semua dianggap penagih, semua dianggap penjenayah dan diletakkan ke dalam penjara ataupun ke pusat pemulihan di bawah PUSPEN, AADK," katanya.

Sependapat dengannya itu, wakil Pertubuhan IKRAM Malaysia Faridah Maludin kertas kerja itu memfokuskan pengguna dan penagih dadah, bukan pengedar, selain mengukuhkan pendekatan berasaskan rawatan.
"Kita ke arah pendekatan baru supaya kita tidak menghukum ke penjara tap akses kepada rawatan lebih diperhebat supaya mereka dirawat sebab penagih dadah adalah pesakit jadi kita melihat dari segi aspek kesihatan," katanya.
Beliau menjelaskan kertas kerja yang dilancarkan memberi tumpuan kepada pengguna serta penagih dadah, bukannya pengedar, selain bertujuan memperkukuh usaha mengalihkan pendekatan daripada hukuman kepada rawatan.
Faridah berkata pendekatan itu juga penting bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan masyarakat Islam bahawa usaha reformasi dasar dadah bertujuan menghalalkan atau menormalisasikan penggunaan dadah.
"Kita nak membina kertas kerja ini supaya memperkukuh pendekatan yang sedang kita lakukan terhadap pesalah dadah supaya mereka tidak dihukum ke penjara. Mereka bukan penjenayah, mereka adalah pesalah dadah, mungkin guna untuk sebab yang bermacam.
"Kita tengok penjara sesak dengan banduan dan 60 peratus mereka adalah sebab kesalahan dadah," katanya.

Menurut beliau, kertas kerja berkenaan disediakan oleh IKRAM dan disemak oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebelum dibentangkan kepada pelbagai pihak termasuk institusi agama dan kementerian bagi mendapatkan sokongan.
Perdebatan mengenai reformasi dasar dadah kembali mendapat perhatian susulan beberapa kes berprofil tinggi, termasuk membabitkan penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman.
Yasin sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan dadah yang dihadapinya.
Ia termasuk kesalahan memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7gram, menanam 17 pokok kanabis dalam pasu plastik, kesalahan memberi dirinya dadah berbahaya.
April tahun lalu, bapa kepada dua anak itu dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Rayuan serta memerintahkannya kembali ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak sehingga diperkenankan Sultan Selangor.








