7,387 pesawah Selangor terima bantuan RM500 sehektar dalam masa terdekat

23 Jun 2026, 4:39 AM
7,387 pesawah Selangor terima bantuan RM500 sehektar dalam masa terdekat

SHAH ALAM, 23 JUN: Seramai 7,387 pesawah di Selangor akan menerima bantuan tunai sebanyak RM500 bagi setiap hektar tanah sawah, yang dijangka disalurkan dalam masa terdekat.

EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata bantuan itu akan dikreditkan terus ke akaun Agrobank penerima, dengan senarai layak ditentukan menerusi proses tapisan yang dijalankan oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang serta Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).

“Pada peringat awalnya untuk fasa 1 bagi pesawah, sebanyak 7,387 pesawah yang akan mendapat langsung dalam terus ke akaun mereka dalam Agrobank sebagaimana kita buat sebelum ini dua tahun lepas RM500, kita bagi tunai RM300 tunai masuk dalam akaun mereka, dan RM200 lagi kita beri dalam bentuk benih padi.

“Selagi memiliki tanah sawah, satu hektar mereka akan mendapat RM500, jadi kalau 10 hektar mereka akan dapat RM5,000. Kini, dalam proses akhir dan pembayaran akan dibuat dalam masa terdekat untuk pesawah. Ini untuk memastikan mengurangkan beban terutama dari segi kenaikan harga bahan bakar bagi jentera-jentera dalam urusan sawah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 pada persidangan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Menurut Izham, Kerajaan Negeri turut menambah peruntukan sebanyak RM6 juta susulan kemasukan 742 nelayan kategori C1 sebagai penerima bantuan.

“Mereka ini telah menerima subsidi, tetapi dibimbangi tidak mencukupi keperluan minyak, jadi kita tambah lagi RM300, dengan menjadikan keseluruhan RM1,800 untuk enam bulan pada setiap nelayan.

“Ia menjadikan peruntukan keseluruhan sebanyak RM8.5 juta untuk pesawah RM8.5 juta manakala nelayan pula RM3.92 juta,” ujarnya.

Inisiatif pertama di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor bernilai RM131 juta bakal memanfaatkan pemain industri agromakanan di seluruh negeri menerusi pelbagai bentuk bantuan.

Terdahulu, Izham berkata bantuan berkenaan bertujuan membantu pemain industri menangani peningkatan kos operasi, memastikan kesinambungan pengeluaran makanan serta memperkukuh jaminan bekalan makanan negeri.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.