BUDI Diesel, IPKP dinaikkan, ringankan kos rakyat

16 Apr 2026, 12:52 AM
BUDI Diesel, IPKP dinaikkan, ringankan kos rakyat

PUTRAJAYA, 16 APRIL: Langkah kerajaan menaikkan bantuan BUDI Diesel dan kadar Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP), akan meringankan beban kos operasi rakyat serta membantu rantaian bekalan makanan negara dalam suasana ketidaktentuan ekonomi global.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) Datuk Dr Hasan Bahrom berkata YADIM menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan MADANI, atas keputusan menaikkan bantuan BUDI Diesel daripada RM300 kepada RM400 sebulan.

Ia termasuk langkah menaikkan kadar Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP), bagi musim penanaman 2026 yang dinaikkan kepada RM300 sehektar semusim berbanding RM160 pada 2025.

“Keputusan ini turut mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan bantuan disalurkan secara lebih bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata YADIM melihat pendekatan ini sebagai penzahiran nilai-nilai utama Malaysia MADANI khususnya prinsip Kesejahteraan, Ihsan serta Kemampanan dalam memastikan kesejahteraan rakyat serta sektor pertanian terus berdaya tahan untuk jangka masa panjang.

“Daripada perspektif dakwah, usaha ini selari dengan tuntutan Islam dalam mengurus sumber secara amanah serta mengagihkan kekayaan negara demi menjaga maslahat ummah.

“Menyokong dan menghargai dasar yang membawa manfaat besar kepada rakyat adalah sebahagian daripada tanggungjawab kolektif dalam membina masyarakat yang adil dan sejahtera,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh lapisan masyarakat untuk menghargai keprihatinan kerajaan ini serta terus memperkukuh semangat kebersamaan dalam mendepani cabaran kos sara hidup.

“YADIM komited untuk terus memainkan peranan memperkukuh kefahaman masyarakat melalui pendekatan dakwah yang menyokong usaha pembangunan negara berteraskan nilai MADANI demi kesejahteraan bersama,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.