SHAH ALAM, 24 JUN: Pejabat Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga merancang membantu pelajar dan anak muda menghadiri acara sukan dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Selangor pada Ogos depan.
ADN Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron berkata pihaknya telah berhubung dengan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan penyertaan penonton khususnya pelajar dapat dipertingkatkan.
Menurutnya, empat sukan akan ditandingkan di kawasannya dengan persiapan kemudahan kini berada pada fasa akhir.
“Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sedang melaksanakan persiapan akhir di Dewan Tanjung dan Dewan Teratai Seksyen 19.
“Kita berharap semua persiapan berjalan lancar dan dapat menyambut temasya SUKMA dengan baik,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata pihaknya turut meneliti kemungkinan menyediakan pengangkutan atau bantuan logistik bagi memudahkan pelajar menghadiri acara sukan berkenaan seterusnya memeriahkan pertandingan.
“Kali terakhir SUKMA dianjurkan di Selangor adalah pada tahun 1998, jadi ini peluang yang baik untuk anak-anak dan pelajar merasai sendiri suasana temasya sukan terbesar negara.
“Kita mahu mengambil inisiatif membawa mereka menjadi penyokong dan memeriahkan pertandingan,” katanya.
Tambahnya, bagi sekolah yang berminat menghantar pelajar ke tempat pertandingan tetapi berdepan masalah akses boleh menghubungi pejabat ADN bagi mendapatkan bantuan dan maklumat lanjut.
SUKMA 2026 akan berlangsung di Selangor bermula pada 15 hingga 24 Ogos.
Sebanyak 469 acara dipertandingkan daripada 37 jenis sukan akan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 gelanggang pertandingan manakala Para SUKMA melibatkan 10 jenis sukan dan 316 acara di daerah Petaling serta Klang.









