Uptown Seksyen 24 tampil lebih moden, selamat dan tersusun mulai September

8 Mei 2026, 6:00 AM
Uptown Seksyen 24 tampil lebih moden, selamat dan tersusun mulai September

SHAH ALAM, 8 MEI: Uptown Shah Alam di Seksyen 24 dijangka kembali beroperasi selewat-lewatnya September ini dengan wajah baharu, dilengkapi kemudahan lebih moden, selamat dan tersusun.

Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron berkata projek itu kini hampir siap sepenuhnya dan hanya menunggu pengeluaran Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

"Insya-Allah kalau ikut pihak PKNS, pembinaan sudah selesai, kemudian TNB pun sudah selesai. Cuma tinggal sekarang ini permohonan CCC. Saya difahamkan akan masuk mesyuarat dalam masa terdekat dan dijangka kelulusan sekitar Jun atau Julai.

"Walaupun CCC itu dalam proses, pihak PKNS sudah ambil tindakan awal dan melaksanakan proses pengundian tapak untuk peniaga melibatkan keseluruhan 440 tapak perniagaan," katanya kepada Media Selangor.

Tambahnya, konsep uptown itu jauh lebih tersusun dan moden berbanding yang lama dengan setiap lot perniagaan mempunyai saiz standard, sistem pendawaian lebih kemas serta sambungan elektrik individu bagi setiap unit.

“Kali ini sistem elektrikal lebih baik dan lebih kemas. Setiap unit ada akaun TNB sendiri, jadi kalau berlaku masalah kita boleh kawal unit terlibat sahaja.

"Sistem baharu itu juga mampu mengurangkan risiko kebakaran besar seperti yang pernah berlaku pada 2014 dan 2018," katanya.

Menurutnya lagi, reka bentuk dan pembinaan uptown baharu itu juga mengambil kira faktor banjir bagi mengurangkan risiko kawasan berkenaan terjejas akibat bencana banjir.

“Tapak memang sudah dinaikkan sedikit dan faktor banjir telah diambil kira dalam reka bentuk. Insya-Allah banjir biasa tidak akan menjejaskan kawasan premis,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan pembinaan semula uptown berkenaan dilaksanakan susulan kejadian kebakaran pada 12 November 2018 yang memusnahkan 41 lot perniagaan.

Pembinaan itu melibatkan dua blok bangunan dua tingkat berkonsep seni bina 'Bugis Moden' menekankan ciri-ciri keselamatan dengan kemudahan menyeluruh serta ruang perniagaan lebih selesa untuk peniaga dan pengunjung.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.