SHAH ALAM, 23 JUN: Selangor terus bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia bagi menangani isu lesen perniagaan membabitkan warga asing di kawasan perindustrian dan komersial negeri ini.
EXCO kerajaan tempatan berkata langkah itu susulan peningkatan kes perkahwinan meragukan antara warga asing dan wanita tempatan, dipercayai mengeksploitasi kelonggaran lesen perniagaan.
Menurut Dato' Ng Suee Lim, kes berkenaan dikenal pasti di Sungai Rasau dan Seksyen 15, Shah Alam yang merupakan antara pusat aktiviti perdagangan dan peluang perniagaan, lapor The Star.
“Ketika operasi penguatkuasaan dijalankan, individu terbabit sering mendakwa mereka hanya membantu pasangan masing-masing menguruskan perniagaan.
“Kami berdepan dilema untuk mengambil tindakan kerana lesen tersebut sah di sisi undang-undang dan didaftarkan atas nama warganegara Malaysia,” katanya seperti dilaporkan portal itu.
Jelasnya, pihak berkuasa tempatan mempunyai ruang yang terhad untuk membatalkan lesen berkenaan melainkan terdapat bukti pelanggaran syarat lesen atau kesalahan lain bawah undang-undang.
Sebelum ini, Selangor dilaporkan bersedia menggubal undang-undang pemberian lesen kepada penduduk tempatan khususnya yang berkahwin dengan warga asing bagi mengelakkan permit niaga dimanipulasi.
Ini berikitan Kerajaan Negeri sukar mengambil tindakan terhadap isu berkenaan khususnya apabila lesen perniagaan didaftarkan atas nama pasangan warga Malaysia yang sah di sisi undang-undang.







