SHAH ALAM, 15 OKT: Seorang lagi wakil rakyat Selangor menjadi mangsa terbaharu menerima surat ugutan mengandungi tangkap layar video lucah palsu menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Sebelum ini, beberapa pemimpin kerajaan dilaporkan menerima e-mel berunsur ugutan sama, dengan pelaku menuntut bayaran sebanyak AS$100,000 atau kira-kira RM470,000.
Sambil menafikan terlibat dengan perilaku itu, EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim menegaskan pihaknya akan memfailkan laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Menurutnya, surat tersebut diterima melalui pos semalam, dengan mesej menggesanya menghubungi segera pihak tersebut melalui e-mel jika tidak mahu keluarga dan reputasi kerja terganggu.
"Saya dapati ia merupakan tangkapan layar video menggunakan teknologi AI untuk meletakkan gambar profil saya bersama seorang wanita yang tidak dikenali tanpa pakaian di sebuah bilik hotel.
"Saya dengan sesungguhnya menjelaskan ini adalah tangkapan layar palsu dan individu tersebut bukanlah saya. Saya dengan tegasnya memaklumkan akan memfailkan laporan kepada SKMM dan polis
"Fitnah dan cubaan peras ugut ini bukan sahaja membahayakan keselamatan diri saya dan keluarga saya, tetapi juga cuba menjatuhkan reputasi saya," katanya dalam kenyataan petang ini.
Suee Lim turut meminta orang ramai berwaspada terhadap penipuan dan ugutan dalam talian di sebalik kemajuan AI dan melaporkan kepada agensi berkaitan untuk memastikan perkara itu tidak berlaku.
Selain Suee Lim, wakil rakyat Selangor yang menerima ugutan sama ialah EXCO Belia Najwan Halimi, EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah dan Ahli Parlimen Subang Wong Chen.