KLANG, 5 JUN: Penjagaan Sungai Klang perlu digalas bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat dengan alirannya, bukan hanya tanggungjawab Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sahaja.
EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim berkata gotong-royong pembersihan sungai juga perlu melibatkan agensi berkaitan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat.
“Kedudukan MBDK di hilir Sungai Klang tidak menjamin kebersihan. Sungai perlu dijaga dari arah hulu antaranya melibatkan Ampang dan sebagainya.
[caption id="attachment_704393" align="aligncenter" width="814"] EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim ditemui media pada Mini Konvensyen Cintai Sungai Klang di Dewan MBDK Bandar Bukit Raja Klang pada 5 Jun 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
“Justeru, semua PBT terlibat dengan aliran sungai perlu mengambil langkah proaktif menjaga pesisir dan ekosistem alam agar tiada lagi pembuangan sampah ke sungai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan mini konvensyen Sungai Klang 2025 anjuran MBDK hari ini.
Suee Lim berkata Sungai Klang yang juga antara sumber air utama Lembah Klang perlu dijaga bagi memastikan jutaan rakyat mendapat bekalan air bersih dan selamat.
Jelasnya, sungai berkualiti berpotensi memajukan sektor pelancongan seperti aktiviti pelayaran sungai dan taman di pesisir sekali gus meningkatkan nilai hartanah dan menawar peluang pekerjaan.
“Penjagaan Sungai Klang dan ekosistemnya sangat penting demi kesejahteraan alam sekitar, kesihatan masyarakat, dan pembangunan mampan,” katanya.
Februari lalu, EXCO kesihatan awam berkata air di Sungai Klang selamat untuk digunakan, bahkan boleh menjadi sumber alternatif bagi penduduk di Klang dan Selangor pada masa akan datang.
Menurut Jamaliah Jamaluddin, Lembaga Urus Air Selangor turut mempergiat usaha bagi memastikan kesemua sungai dan anak sungai di negeri ini tidak dicemari mana-mana pihak.