KLANG, 27 SEPT: Loji sisa kepada tenaga (WTE) di Jeram akan dibuka kepada orang ramai untuk mendidik dan mengubah tanggapan mereka terhadap teknologi berkenaan, kata EXCO kerajaan tempatan
Menurut Dato' Ng Suee Lim, langkah itu sekali gus mengatasi isu salah faham mengenai WTE, selain membantu masyarakat memahami operasi dan menjawab kebimbangan terhadap kesan alam sekitar.
“Sebaik sahaja loji ini siap, kita mahu anjurkan lawatan supaya orang ramai dapat lihat sendiri bagaimana ia beroperasi dan membetulkan sebahagian tanggapan negatif,” katanya.
Ditemui pada pelancaran Hari Cuci Malaysia 2025 di Dataran Klang pagi ini, jelasnya, WTE diiktiraf dan digunakan di seluruh dunia kerana kecekapannya serta kesan rendah terhadap alam sekitar.
“Loji ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos pengurusan sisa termasuk penyediaan jalan lebih baik untuk laluan lori, malah kesannya terhadap alam sekitar juga rendah,” katanya.
Suee Lim menegaskan teknologi berkenaan harus dimanfaatkan bagi memastikan negeri kekal bersih, berikutan kitar semula sahaja tidak memadai untuk strategi pengurusan sisa pada masa hadapan.
Pada masa sama, beliau menjelaskan Selangor bersedia menerajui Malaysia dalam pengurusan sisa mampan dengan pengoperasian loji WTE berskala besar.
“Jepun mempunyai loji WTE yang dibina hanya 30 meter dari sekolah. Dahulu pengkritik mendakwa ia akan mencemarkan udara; itu benar bagi teknologi insinerator lama, tetapi keadaan berubah.
“Teknologi semakin maju, dan hari ini ia jauh lebih selamat serta lebih cekap,” katanya.
Dua loji WTE di Jeram, yang dijangka memproses 3,500 tan sisa sehari, diramal siap menjelang akhir 2025 atau awal 2026 untuk mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan dan menyokong matlamat pengurusan sisa lestari.