Diskaun sewa 30 peratus premis PBT, peniaga digesa kekalkan harga jualan

23 Jun 2026, 1:00 AM
Diskaun sewa 30 peratus premis PBT, peniaga digesa kekalkan harga jualan

SHAH ALAM, 23 JUN: Peniaga yang beroperasi di premis milik pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran mengekalkan harga jualan pada kadar berpatutan dan tidak menaikkan harga sesuka hati susulan pelbagai bantuan yang diperkenalkan Kerajaan Selangor.

EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berkata peniaga yang menerima manfaat pengurangan kadar sewa selama enam bulan serta inisiatif bantuan lain perlu memastikan penjimatan tersebut diterjemahkan kepada nilai yang lebih baik untuk pengguna.

“Kita berharap peniaga tidak menjadikan ketidaktentuan ekonomi global atau peningkatan kos sebagai alasan untuk menaikkan harga.

“Jika kos operasi dapat dikurangkan melalui bantuan kerajaan, mereka sepatutnya mengekalkan harga pada kadar terkawal dan, jika boleh, menawarkan harga yang lebih berpatutan bagi menarik pelanggan,” katanya ketika menggulung perbahasan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 pada Sidang Dewan Negeri Selangor, semalam.

Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 bernilai RM209.26 juta yang diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 19 Jun lalu merangkumi 15 inisiatif bagi membantu isi rumah dan perniagaan berdepan peningkatan kos sara hidup serta ketidaktentuan ekonomi global.

Antara inisiatif yang diumumkan ialah pengurangan kadar sewa sebanyak 30 peratus selama enam bulan kepada lebih 21,000 peniaga yang menyewa premis di bawah PBT seluruh Selangor. Langkah itu bertujuan mengurangkan beban peniaga kecil dalam keadaan ekonomi semasa di samping memastikan manfaatnya turut dinikmati pengguna.

Mengulas cadangan beberapa Ahli Dewan Negeri supaya fi lesen perniagaan dikurangkan atau dikecualikan, Suee Lim berkata Kerajaan Negeri terbuka untuk mempertimbangkan cadangan tersebut.

Menurutnya, Selangor pernah mengecualikan fi lesen penjaja di seluruh negeri selama lapan tahun bermula 2016 hingga 2023 sebagai usaha mengurangkan kos operasi serta menggalakkan penyertaan dalam aktiviti ekonomi berskala kecil.

“Walaupun fi lesen diperkenalkan semula pada 2024 bagi mengukuhkan kedudukan kewangan PBT, Kerajaan Negeri tetap terbuka untuk meneliti pengurangan atau pengecualian pada masa hadapan, tertakluk kepada kemampuan kewangan PBT dan keadaan ekonomi semasa,” katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.