Pelajar lelaki tingkatan satu kritikal terjatuh bangunan sekolah

22 Jun 2026, 3:44 PM
Pelajar lelaki tingkatan satu kritikal terjatuh bangunan sekolah

IPOH, 22 JUN: Seorang pelajar lelaki tingkatan satu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas dipercayai terjatuh dari bangunan di dalam kawasan sebuah sekolah menengah di sini, hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh telah menerima maklumat melalui talian MERS 999 berhubung kejadian itu pada 2.49 petang.

Beliau berkata pihak polis dan pasukan perubatan telah digerakkan ke lokasi bagi memberikan bantuan dan menjalankan siasatan awal sebelum mangsa yang berusia 13 tahun dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk menerima rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Setakat ini, pihak polis masih mengumpul keterangan daripada saksi dan meneliti semua aspek yang berkaitan.

“Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kejadian ini,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Justeru, Mohd Alwi berkata pihak polis memohon agar privasi mangsa, keluarga dan pihak sekolah dihormati sepanjang tempoh siasatan dan rawatan dengan kerjasama semua pihak amat dihargai bagi memastikan kebajikan mangsa serta keluarga terus terpelihara.

Beliau berkata polis juga akan menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh serta sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.