ad

Polis tahan lelaki 54 tahun, disyaki rogol jiran umur 13 tahun

6 Nov 2025, 5:47 AM
Polis tahan lelaki 54 tahun, disyaki rogol jiran umur 13 tahun

SHAH ALAM, 6 NOV: Polis menahan seorang lelaki berusia 54 tahun bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan seorang pelajar tingkatan satu yang juga jirannya di Bandar Tasik Puteri, Gombak.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 8.15 malam Ahad lalu selepas ibu mangsa tampil membuat laporan.

Menurutnya, ibu mangsa berusia 35 tahun memaklumkan anak perempuannya dipercayai menjadi mangsa rogol oleh seorang lelaki dikenali yang tinggal di kawasan kejiranan sama.

“Berdasarkan laporan itu, mangsa dipercayai dirogol lelaki dikenali yang tinggal di kawasan kejiranan sama,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Susulan laporan itu, polis menahan suspek di kawasan kejiranan mangsa pada hari sama bagi membantu siasatan lanjut.

“Suspek ditahan tidak lama selepas laporan diterima dan kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan,” jelas Noor Ariffin.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Polis turut meminta saksi atau individu yang mempunyai maklumat berkaitan memaklumkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, Inspektor Nik Nor Aqeela Nik Abdullah di talian 019-9260203 atau mana-mana balai polis berhampiran.