SHAH ALAM, 26 OGOS: Kerajaan Negeri memberi jaminan siasatan telus berhubung insiden seorang pelajar tingkatan tiga yang dilapor terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.
Dato’ Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari mengarahkan EXCO Kemajuan Desa, Datuk Rizam Ismail mendapatkan maklumat lanjut serta menyalurkan perkembangan kepada pentadbiran negeri.
Menurut Rizam, beliau dimaklumkan pihak polis dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) sedang menjalankan siasatan menyeluruh berkaitan kes tersebut.
“Kerajaan Negeri akan terus berkomunikasi dengan pihak berkuasa dan memastikan satu siasatan telus dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden ini.
"Saya juga akan menziarahi pelajar dan keluarga dalam masa terdekat serta mendoakan agar pelajar tersebut pulih sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau dalam masa sama menasihati orang ramai agar bertenang dan tidak menimbulkan spekulasi atau menyebarkan berita palsu yang boleh mengganggu proses siasatan.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Dato’ Pahlawan Shazeli Dato’ Kahar mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu dan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Media sebelum ini melaporkan pelajar terbabit kini dalam keadaan kritikal selepas dipercayai menjadi mangsa buli di asrama.