Lima pekerja kurier terdedah tumpahan merkuri, dikejarkan ke hospital

22 Jun 2026, 10:15 AM
Lima pekerja kurier terdedah tumpahan merkuri, dikejarkan ke hospital

GEORGE TOWN, 22 JUN: Lima pekerja syarikat kurier dan logistik menerima rawatan selepas terdedah kepada tumpahan merkuri daripada satu bungkusan yang pecah ketika proses pengasingan barangan di premis itu di Jalan Terengganu, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.03 tengah hari sebelum sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak terus ke lokasi.

"Sebaik tiba, pihak bomba mendapati berlaku tumpahan merkuri dianggarkan sebanyak 500 mililiter yang berpunca daripada satu barangan pos yang pecah semasa proses pengasingan di premis berkenaan.

"Sebanyak lima pekerja dilaporkan terlibat dalam insiden tersebut dan pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) turut digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi kawalan serta kerja-kerja nyahcemar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata komander operasi Hazmat telah menjalankan penilaian awal di lokasi sebelum mengarahkan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) yang lengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan nyahcemar menggunakan serbuk sulfur serta peluntur.

John berkata pasukan bomba turut menjalankan pemantauan dan mengambil bacaan persekitaran bagi memastikan kawasan berkenaan berada dalam keadaan selamat serta bebas daripada sebarang risiko pencemaran berbahaya.

Katanya, operasi membabitkan 17 anggota termasuk penyelia daripada BBP Jalan Perak dan BBP Bayan Baru itu ditamatkan sepenuhnya pada 3.06 petang setelah memastikan tiada lagi unsur keberbahayaan di lokasi.

"Tiga lelaki dan dua wanita kesemuanya berusia 20 hingga 45 tahun yang bekerja di situ diberi rawatan awal oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut," katanya.

John berkata setakat ini, semua mangsa termasuk dua lelaki Myanmar yang terlibat dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.