Aktif bukan penghalang raih ijazah kelas pertama, Hasif buktikan tiada yang mustahil

30 Okt 2026, 9:37 AM
Aktif bukan penghalang raih ijazah kelas pertama, Hasif buktikan tiada yang mustahil
Aktif bukan penghalang raih ijazah kelas pertama, Hasif buktikan tiada yang mustahil
Aktif bukan penghalang raih ijazah kelas pertama, Hasif buktikan tiada yang mustahil

Siapa kata mahasiswa yang terlalu aktif dalam kegiatan luar bilik kuliah sukar memperoleh keputusan akademik cemerlang?

Bagi Akmal Hasif Mohamad Sukri, tanggapan tersebut tidak menghalangnya. Beliau membuktikan bahawa kecemerlangan akademik dan penglibatan kokurikulum mampu berjalan seiring, malah saling melengkapi dalam membentuk keperibadian seorang mahasiswa.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Halal (Kepujian) dari Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini mencuri perhatian apabila menamatkan pengajian dengan pencapaian kelas pertama, walaupun jadual kehidupan kampusnya dipenuhi pelbagai komitmen.

Mendeklamasikan sajak di pentas kebangsaan dan antarabangsa, menjadi suara pembaca nama graduan, mengendalikan majlis rasmi, menyertai pertandingan inovasi sehinggalah terlibat dalam program pembangunan komuniti di luar negara, semuanya menjadi sebahagian daripada perjalanan beliau sebagai mahasiswa.

Ketika ditemui sempena Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-105, Hasif menyifatkan kejayaan tersebut hasil disiplin, pengurusan masa dan keberanian untuk mencabar kemampuan diri.

“Mempunyai semangat waja dalam melaksanakan tugas dengan baik serta pengurusan masa yang efisien membantu saya menjadi mahasiswa yang bertanggungjawab dalam melaksanakan setiap amanah,” katanya.

Anak keempat daripada enam beradik itu paling dikenali menerusi bakatnya dalam bidang deklamasi sajak. Kecintaannya terhadap seni bahasa dan kesusasteraan Melayu membawanya menyertai pelbagai pertandingan dan persembahan puisi di dalam dan luar kampus.

Antara pencapaian yang diraih termasuk gelaran juara Sayembara Puisi Tari peringkat antarabangsa, juara Sayembara Deklamasi Puisi Piala Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan serta pelbagai pengiktirafan dalam pertandingan bahasa dan kesusasteraan di peringkat kebangsaan.

Hasif bukan sekadar mendeklamasikan karya orang lain, malah turut menghasilkan sajak sendiri dan menyertai pertandingan penulisan sajak. Sajak nukilannya pernah dideklamasikan dalam satu pertandingan sehingga membawanya ke kedudukan johan. Antara pengalaman berharga beliau di pentas puisi ialah apabila diberi kepercayaan sebagai pendeklamasi sajak dalam Opereta Diraja “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada” karya Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan di Dewan Konsert Seri Budiman, UiTM Shah Alam. Persembahan teater diraja itu disaksikan oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Baginya, setiap pengalaman di atas pentas mempunyai nilai tersendiri kerana keberanian berhadapan khalayak bukan sesuatu yang terbina dalam sehari.

Selain pentas puisi, bakat pengucapan awam Hasif turut membuka peluang untuk beliau menjadi pembaca nama graduan bagi beberapa sidang Istiadat Konvokesyen UiTM dan suara latar (voice over), selain mengendalikan pelbagai acara rasmi universiti sebagai pengacara majlis.

Beliau juga pernah berkhidmat menerusi Skim Khidmat Pelajar (SKP) sebagai penyampai radio UFM, sekali gus memperoleh pengalaman bekerja ketika masih menuntut. Pengalaman tersebut melatih beliau untuk berkomunikasi dengan yakin, mengurus tanggungjawab dan menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi.

Bagi Hasif, antara nilai terbesar menjadi mahasiswa aktif ialah peluang mengenali ramai insan daripada pelbagai latar belakang. Perjalanan seni puisinya bermula apabila beliau mula mengenali warga Pusat Kebudayaan UiTM, manakala perkenalan dengan pelbagai pihak di dalam kampus pula membuka jalan kepadanya untuk menjadi pembaca nama graduan dan penyampai radio UFM.

“Setiap orang yang saya kenali membawa ilmu dan pengalaman yang berbeza. Dari situ saya banyak belajar, bukan sahaja tentang bidang mereka, tetapi juga tentang cara berfikir, berkomunikasi dan menghargai orang lain,” katanya.

Penglibatan Hasif tidak terhenti dalam bidang seni dan komunikasi. Walaupun mengikuti pengajian dalam bidang Pengurusan Industri Halal, beliau turut mencabar diri menerusi pertandingan inovasi, kepimpinan pelajar serta aktiviti pembangunan masyarakat.

Antara pencapaiannya ialah pingat perak dalam pertandingan International Disability Invention, Design and Innovation 2025 (i-DiD) menerusi inovasi visual-spatial bagi memperkasa pendidikan akidah untuk generasi autisme Muslim di Malaysia. Kerja inovasi tersebut turut dikongsikan menerusi penerbitan bersama dalam jurnal antarabangsa.

Dari sudut kepimpinan, beliau pernah berkhidmat sebagai ahli Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Kolej Perindu, selain aktif menyertai program pembangunan komuniti ASEAN di Jakarta dan Bandung, Indonesia. Penglibatan sedemikian memperlihatkan kesungguhan Hasif untuk meneroka bidang di luar disiplin pengajian utamanya, sekali gus memperluas pengalaman dan jaringan.

“Menjadi mahasiswa yang aktif membuatkan saya sentiasa memikirkan bagaimana untuk terus melangkah ke hadapan, mencabar kemampuan diri dan mencipta kejayaan baharu,” ujarnya.

Mengulas tanggapan bahawa penglibatan kokurikulum yang terlalu aktif boleh menjejaskan prestasi akademik, Hasif berpandangan setiap mahasiswa perlu memahami kemampuan diri dan bijak menyusun keutamaan. Menurutnya, kesibukan bukan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar, sebaliknya perlu dijadikan latihan membina disiplin serta kecekapan mengurus masa.

“Memang ada yang beranggapan bahawa terlalu aktif dalam aktiviti sampingan boleh menyebabkan pelajaran terabai. Namun, bagi saya, tiada yang mustahil sekiranya kita mempunyai pengurusan masa yang baik, disiplin dan efikasi kendiri yang tinggi.

“Kita perlu tahu membezakan keutamaan. Akademik tetap tanggungjawab utama, manakala aktiviti luar bilik kuliah menjadi ruang untuk membina keyakinan diri, kemahiran sosial dan sahsiah,” katanya.

Beliau percaya kemahiran insaniah yang dibina menerusi penglibatan aktif juga penting dalam bidang pengajiannya.

“Dalam bidang pengurusan halal, kita bukan sahaja memerlukan pengetahuan teknikal, tetapi juga kemahiran berkomunikasi, berurusan dengan pelanggan, memahami keperluan industri dan bekerjasama dengan pelbagai pihak,” jelasnya.

Di sebalik pencapaian yang diraih, Hasif tidak melupakan peranan keluarga yang sentiasa menjadi sumber kekuatan sepanjang perjalanan pengajiannya. Bapanya, seorang pesara guru, bersama ibunya sentiasa memberikan nasihat, teguran dan didikan yang menurutnya mempunyai pengaruh besar dalam membentuk disiplin serta keperibadian dirinya.

Baginya, kejayaan bukan hanya diukur melalui jumlah anugerah atau pengiktirafan, tetapi juga melalui kemampuan seseorang untuk terus merendah diri, menerima teguran dan memperbaiki kelemahan. Beliau turut menganggap pengalaman sepanjang berada di universiti sebagai proses pembelajaran kehidupan yang tidak mungkin diperoleh melalui buku teks semata-mata.

Mengimbau perjalanan sebagai mahasiswa, Hasif menyifatkan UiTM sebagai institusi yang bukan sahaja membekalkannya dengan ilmu akademik, malah membentuk keyakinan, pemikiran dan kematangan diri.

“Bagi saya, universiti keramat ini, Universiti Teknologi MARA, telah berjaya ‘menginsankan’ saya secara peribadi.

“Di sinilah saya belajar tentang tanggungjawab, disiplin, kepimpinan, persahabatan dan keberanian untuk keluar daripada zon selesa. Semua pengalaman itu sangat bermakna dalam membentuk siapa diri saya pada hari ini,” katanya.

Menurutnya, peluang yang tersedia di universiti seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin kerana alam pengajian tinggi merupakan fasa penting dalam mempersiapkan mahasiswa menghadapi realiti kehidupan dan dunia pekerjaan. Beliau turut menyeru mahasiswa agar tidak takut mencuba sesuatu yang baharu, termasuk menyertai persatuan, pertandingan, aktiviti kesukarelawanan, penyelidikan, inovasi dan program antarabangsa.

“Jadikan universiti sebagai pentas untuk membina diri. Terokalah sebanyak mungkin pengalaman, buka minda dan beranikan diri untuk terlibat secara aktif.

“Semoga kita bukan sahaja menggenggam segulung ijazah, malah turut membawa bersama sikap yang baik, disiplin dan keyakinan diri untuk menempuh kehidupan,” pesannya.

Kisah Hasif membuktikan bahawa kejayaan seorang graduan tidak semestinya dibina melalui satu laluan sahaja. Di sebalik pencapaian akademik kelas pertama, tersimpan pengalaman berdiri di pentas puisi, menjadi suara di majlis rasmi universiti, meneroka dunia inovasi, berkhidmat untuk warga kolej dan menyumbang kepada masyarakat.

Bagi Hasif, segulung ijazah menandakan berakhirnya satu fasa pengajian, namun pengalaman dan insan yang dikenali sepanjang berada di universiti menjadi bekalan untuk melangkah lebih jauh.

Kerana pada akhirnya, mahasiswa luar biasa bukan sekadar mereka yang cemerlang dalam peperiksaan, tetapi juga mereka yang berani memanfaatkan peluang untuk membentuk diri menjadi insan yang lebih berketerampilan.

Dr Muhamad Hafiz Hasan ialah Pensyarah Kanan dan Ketua Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN), Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Kategoripendapat

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.