SHAH ALAM, 24 NOV: Communication and Media Festival (COMMED) 2026 menjadi platform meningkatkan literasi dan kesedaran keselamatan digital dalam kalangan mahasiswa, khususnya bagi menggalakkan penggunaan media secara bijak dan bertanggungjawab.
Festival anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu turut mendapat sokongan Bernama, U.FM dan Media Selangor sebagai rakan media strategik.
Dekan FKPM, Prof Dr Abd Rasid Abd Rahman berkata, keselamatan digital bukan sekadar melibatkan perlindungan kata laluan dan maklumat peribadi, malah merangkumi cara seseorang berkomunikasi, berkongsi maklumat serta berinteraksi dalam talian.

“Melalui ikrar ini, kami menggalakkan setiap individu melindungi maklumat peribadi, berfikir sebelum berkongsi kandungan serta mengamalkan kawal selia kendiri ketika berinteraksi dalam ruang digital,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran festival itu di Dewan Annexe, UiTM Shah Alam, hari ini.
Menurutnya, pengguna perlu menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi serta berhati-hati mendedahkan maklumat peribadi bagi mengelakkan penyalahgunaan.
Beliau berharap usaha itu dapat membudayakan penggunaan media digital secara bertanggungjawab, selain meningkatkan kesedaran bahawa keselamatan dalam talian merupakan tanggungjawab bersama.

Bertemakan ‘CTRL + THINK: Taking Control of Our Digital World’, festival selama dua hari hingga 25 November itu menampilkan pelbagai pengisian berkaitan literasi dan keselamatan digital.
Antaranya forum ‘The Good, the Bad and the Digital’ yang menghimpunkan wakil industri media dan komunikasi bagi membincangkan perkembangan serta cabaran persekitaran digital.
Turut diadakan bengkel interaktif keselamatan digital bersama Content Forum dan sesi ‘Platform Safety & Digital Governance’ bersama TikTok Malaysia.
Dalam perkembangan sama, kempen Ikrar Literasi dan Keselamatan Digital UiTM berjaya mengumpulkan lebih 3,000 ikrar sepanjang sebulan penganjurannya bermula 24 Oktober lalu dengan kerjasama Content Forum.










