KUALA SELANGOR, 21 JUN: Pertandingan Debat Piala Dato’ Menteri Besar Selangor 2026 terus menjadi platform penting dalam melahirkan generasi belia dan mahasiswa yang berilmu, berfikiran kritis serta berani menyuarakan pandangan terhadap isu semasa.
EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail ketika membacakan teks ucapan Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari berkata pertandingan itu selari dengan usaha Kerajaan Negeri memperkasa pembangunan modal insan berkualiti, khususnya dalam kalangan generasi muda.
"Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memperkasa pembangunan modal insan yang berkualiti khususnya dalam kalangan belia dan mahasiswa yang dianggap sebagai aset strategi negeri dan negara," katanya pada majlis penutupan pertandingan itu di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) di sini, hari ini.
Menurutnya, mahasiswa masa kini bukan lagi dinilai berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya turut diukur menerusi keupayaan berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah dan berinteraksi dalam persekitaran yang pelbagai.

"Keupayaan generasi muda untuk berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah dan menyampaikan pandangan secara berkesan akan menentukan hala tuju pembangunan negara pada masa hadapan," katanya.
Beliau berkata penglibatan dalam program intelektual dan kompetitif seperti debat mampu membentuk mahasiswa yang berketerampilan, berkeyakinan tinggi serta berupaya menjadi ejen perubahan kepada masyarakat, negeri dan negara.
Katanya, pertandingan itu turut mendukung hasrat Kerajaan Negeri dalam menggalakkan kebebasan bersuara dalam kalangan mahasiswa menerusi tema Suara Mahasiswa Mencorak Masa Hadapan Selangor bagi melahirkan graduan yang holistik dan berdaya saing.

Sementara itu, Ketua Hakim Pertandingan Debat Piala Dato’ Menteri Besar Selangor Mohd Nazri Noh berkata edisi kali keempat itu menghimpunkan 52 pasukan daripada 20 universiti awam dan swasta di seluruh negara.
Beliau berkata format 'British Parliamentary' yang digunakan memberi peluang kepada peserta membahaskan pelbagai isu berkaitan Selangor serta mengemukakan pandangan terhadap dasar dan cabaran semasa negeri.
"Budaya debat di universiti sudah cukup baik dan mereka melihat ini satu keperluan kepada mahasiswa untuk menjadi personaliti yang unggul pada masa akan datang. Keyakinan mereka dalam melontarkan idea dan hujah dapat membantu kita membina polisi," katanya.
Mohd Nazri yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah STDC berkata pertandingan itu turut membuka ruang kepada peserta membina jaringan serta memperluas pemahaman mengenai isu dan dasar negeri.

Pendebat Terbaik Akhir, Faris Daniel Rizal Zainorrizal, 23, berkata pertandingan tersebut meningkatkan keyakinan golongan belia untuk menyuarakan pandangan, khususnya berkaitan isu yang memberi kesan kepada masyarakat.
"Debat ini meningkatkan keyakinan kepada belia sebab kadang-kadang kita ada pendapat tetapi tidak ada medium untuk suarakan.
"Debat Piala MB Selangor ini platform yang baik dan saya gembira sebab dapat gunakan platform ini untuk anak Selangor membicarakan tentang isu-isu dalam negeri Selangor," katanya.
Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata antara cabaran utama pertandingan ialah peserta hanya diberikan tajuk 30 minit sebelum perdebatan bermula.
"Kita tidak dapat buat persediaan daripada awal. Itu sebenarnya mencabar kami punya tahap nak mencari fakta, buat kajian dan soalan. Jadi Alhamdulillah cabaran itu dapat kami (tempuh) sama-sama," katanya yang membawa pulang RM500 berserta trofi.

Rakan sepasukannya, Muhammad Tirmizi Rabidin, 23, turut meluahkan rasa syukur apabila pasukan mereka berjaya mara dari peringkat suku akhir hingga ke pentas akhir sebelum dinobatkan sebagai juara.
"Alhamdulillah kami menang di suku akhir, separuh akhir dan akhirnya berjaya ke pusingan akhir hari ini," katanya.
Kedua-dua mereka dinobatkan sebagai johan Pertandingan Debat Piala Dato’ Menteri Besar Selangor 2026, sekali gus membawa pulang wang tunai RM8,000 berserta sijil pencapaian dan trofi.
Naib johan dimenangi Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menerima RM5,000 berserta sijil dan trofi, manakala Universiti Teknologi Petronas (UTP) di tempat ketiga membawa pulang RM2,000 berserta sijil dan trofi.
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pula menduduki tempat keempat dan memenangi wang tunai RM1,000 berserta sijil dan trofi.
Sementara itu, Muhammad Haries Husni dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Keseluruhan dan menerima wang tunai RM300 berserta trofi.










