34 sekolah di Selangor terima bilik darjah baharu menjelang sesi persekolahan 2027

21 Jun 2026, 11:00 AM
34 sekolah di Selangor terima bilik darjah baharu menjelang sesi persekolahan 2027

SHAH ALAM, 21 JUN: Sebanyak 34 sekolah di Selangor dijangka menerima blok bilik darjah baharu satu tingkat bagi menampung kemasukan murid Tahun Satu pada sesi persekolahan tahun depan.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Ir Shukri Ishak berkata projek menelan belanja RM179 juta itu kini giat dilaksanakan di seluruh negeri, dengan sebahagian besar projek berada dalam fasa pembinaan.

“Keutamaan diberikan kepada pembinaan blok satu tingkat supaya ia dapat digunakan bagi menampung kemasukan murid. Ia dijangka siap dibina menjelang November atau selewat-lewatnya Disember.

“Semua projek kini dalam peringkat pembinaan, cuma ada sembilan projek kecil yang masih di peringkat perolehan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Menurut beliau, pembinaan blok dua tingkat pula dijangka siap pada suku kedua tahun depan berikutan proses pembinaannya lebih kompleks dan memerlukan kerja rasuk serta struktur yang lebih besar.

“Blok dua tingkat memerlukan kerja cerucuk dan pelbagai kerja teknikal yang lebih kompleks berbanding bangunan satu tingkat,” ujarnya.

Shukri berkata kemajuan projek berbeza mengikut lokasi, dengan sebahagiannya telah memasuki peringkat pembinaan dinding dan pemasangan kekuda bumbung, manakala yang lain masih di peringkat kerja asas.

Terdahulu, media melaporkan JKR Selangor kini giat mempercepat pelaksanaan projek pembinaan bilik darjah baharu khususnya di sekolah berkepadatan tinggi bagi menampung kemasukan murid Tahun Satu di negeri ini.

Bagi tujuan itu, JKR menerima peruntukan melibatkan kira-kira 102 sekolah di seluruh Selangor dan setakat ini sebanyak 41 iklan sebut harga telah dikeluarkan untuk melaksanakan kerja-kerja berkaitan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.