Dua kohort Tahun Satu 2027: KPM tambah 2,596 bilik darjah, lantik 3,150 guru

24 Jun 2026, 5:39 AM
Dua kohort Tahun Satu 2027: KPM tambah 2,596 bilik darjah, lantik 3,150 guru

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mempergiat persiapan bagi menghadapi kemasukan dua kohort murid tahun satu pada 2027, termasuk membina 2,596 bilik darjah baharu dan mengambil 3,150 guru secara kontrak perkhidmatan (COS) berdasarkan jumlah pendaftaran semasa.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata sehingga kini, KPM menerima 73,386 permohonan pendaftaran tahun satu bagi kanak-kanak usia enam tahun untuk sesi persekolahan 2027, manakala jumlah kanak-kanak umur tujuh tahun adalah seramai 405,033 orang.

Beliau berkata jumlah keseluruhan 478,419 permohonan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 12.07 peratus berbanding enrolmen tahun satu 2026 yang hanya melibatkan kohort umur tujuh tahun.

“Justeru, KPM melaksanakan pelbagai langkah bagi persiapan (antaranya) bilik darjah baharu sedang dibina menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) modular melibatkan 838 sekolah, dan projek-projek ini akan disiapkan pada tahun ini juga,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang ingin tahu sejauh mana persiapan KPM dalam menerima kemasukan murid usia enam tahun ke tahun satu pada 2027, dan kaedah yang diguna pakai bagi memastikan guru-guru tidak terbeban dengan kemasukan tambahan ini.

Menjawab soalan tambahan Jalaluddin mengenai penyelarasan antara prasekolah dan tadika serta tahap kesiapsiagaan murid daripada latar belakang pendidikan awal yang berbeza, Wong berkata ibu bapa diberi pilihan untuk menentukan kesediaan anak masing-masing sama ada memasuki kohort usia enam tahun atau kekal dalam kohort umur tujuh tahun.

Beliau berkata KPM turut memperluas akses pendidikan prasekolah dengan menambah 350 kelas prasekolah pada tahun ini berbanding kira-kira 150 kelas setiap tahun sebelum ini, bagi memastikan akses terutamanya untuk golongan B40 yang tidak mampu masuk ke tadika swasta.

Pada masa yang sama, KPM juga meneliti implikasi terhadap kelangsungan operasi tadika swasta susulan kehilangan satu kohort murid, selain memastikan sesi libat urus diteruskan dengan pihak berkepentingan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) mengenai latihan guru untuk mengendalikan murid kohort usia enam tahun serta unjuran kekurangan guru mengikut negeri, Wong berkata KPM mempunyai unjuran lima tahun berkaitan keperluan guru pada peringkat kebangsaan dan negeri.

Beliau berkata selain guru COS, KPM juga akan melantik sebahagian calon simpanan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bagi memenuhi keperluan semasa, selain memperkukuh latihan profesion berkenaan terutama sebagai persediaan menerima murid kohort usia enam tahun ke tahun satu.

“Pada masa yang sama kita akan memanfaatkan sebanyak mungkin program transisi tahun satu bagi menyokong penyesuaian murid, serta memastikan kurikulum persekolahan 2027 yang kita akan laksanakan tahun depan ini disesuaikan dengan tahap perkembangan, dan juga keperluan murid di sekolah masing-masing,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.