MPKS tutup tiga premis kitar semula haram di Kuala Selangor, keluar sembilan kompaun

21 Jun 2026, 7:25 AM
MPKS tutup tiga premis kitar semula haram di Kuala Selangor, keluar sembilan kompaun
MPKS tutup tiga premis kitar semula haram di Kuala Selangor, keluar sembilan kompaun
MPKS tutup tiga premis kitar semula haram di Kuala Selangor, keluar sembilan kompaun

SHAH ALAM, 21 JUN: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengarahkan tiga premis kitar semula menghentikan operasi serta-merta selepas didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen sah dalam operasi bersepadu di sekitar Kampung Seri Sentosa, Ijok dan Jalan Kepong-Kuala Selangor pada Khamis lalu.

MPKS memaklumkan operasi yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 2 petang itu melibatkan 27 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi penguat kuasa bagi memastikan premis kitar semula mematuhi syarat pelesenan, menjaga kebersihan persekitaran serta mematuhi peraturan kawalan bangunan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.

Operasi tersebut dilaksanakan oleh Jabatan Penguatkuasaan MPKS dengan kerjasama Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, Jabatan Kawalan Bangunan, Unit Korporat, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Selangor serta Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiga premis yang beroperasi melakukan pelbagai kesalahan termasuk menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah.

“Sehubungan itu, ketiga-tiga premis diarahkan menghentikan operasi serta-merta dan ditutup oleh Jabatan Penguatkuasaan MPKS,” menurut kenyataan MPKS menerusi Facebook.

MPKS mengeluarkan tiga kompaun dan tiga notis pemberhentian perniagaan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar turut mengeluarkan satu kompaun mengikut Seksyen 85(3) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), selain dua notis mengalihkan halangan di bawah Seksyen 46(3) akta sama kerana gagal memastikan premis berada dalam keadaan bersih dan teratur.

Pada masa sama, Jabatan Kawalan Bangunan mengeluarkan dua notifikasi dan tawaran kompaun mengikut Seksyen 70(1) Akta 133 membabitkan struktur bangunan yang dibina tanpa kelulusan sah.

SSM Selangor pula mengeluarkan tiga kompaun mengikut Seksyen 30(1)(b) Akta Syarikat 2016 kerana gagal mematuhi keperluan perundangan korporat.

Pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor turut terlibat dalam menyemak status lot tanah bagi memastikan operasi di lapangan berjalan lancar.

“Secara keseluruhan, operasi ini melibatkan pemeriksaan terhadap tiga premis yang didapati beroperasi.

“Sebanyak tiga premis ditutup, sembilan kompaun dan tujuh notis dikeluarkan, manakala tiada sitaan direkodkan sepanjang operasi,” katanya.

MPKS berkata pihaknya akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan bersepadu dari semasa ke semasa bagi memastikan semua premis perniagaan mematuhi peraturan yang ditetapkan serta menjamin kesejahteraan, keselamatan dan kebersihan persekitaran di kawasan pentadbirannya.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.