32,461 ahli NADI Sabak Bernam jadi ejen keselamatan digital dan penyampai maklumat komuniti

21 Jun 2026, 5:44 AM
32,461 ahli NADI Sabak Bernam jadi ejen keselamatan digital dan penyampai maklumat komuniti

SABAK BERNAM, 21 JUN: Sebanyak 32,461 ahli Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) daripada 13 pusat NADI di daerah ini akan berperanan sebagai ejen dan duta komuniti yang menjadi penghubung antara kerajaan dengan masyarakat setempat.

EXCO Pelancongan dan Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim berkata selain membantu menyampaikan maklumat terkini kepada penduduk di daerah luar bandar, individu terbabit juga berperanan untuk menyebarkan mesej keselamatan digital.

“Saya amat mengalu-alukan pendekatan berbentuk program komuniti seperti ini kerana mesej keselamatan Internet dapat disampaikan dalam suasana yang santai, interaktif dan mudah difahami.

“Apa yang lebih membanggakan, program seperti ini menunjukkan bahawa usaha memperkasakan keselamatan digital bukan hanya tertumpu di bandar-bandar besar, malah diperluas sehingga peringkat akar umbi agar manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mini Karnival Kempen Internet Selamat Sabak Bernam di sini hari ini.

Suee Lim berkata ruang siber kini membawa cabaran kompleks, khususnya membabitkan jenayah dalam talian, antaranya penipuan yang menyasarkan mereka yang kurang arif dan cakna terhadap taktik jenayah terbabit.

Beliau berkata berikutan itu pembangunan digital tidak boleh hanya tertumpu kepada penyediaan infrastruktur dan akses Internet semata-mata, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan usaha memperkukuh keselamatan dan literasi digital supaya masyarakat mampu memanfaatkan teknologi secara bijak, selamat dan bertanggungjawab.

“Dalam dunia digital hari ini, ancaman tidak lagi datang secara bersemuka. Ia boleh hadir melalui mesej yang kelihatan meyakinkan, pautan yang seolah-olah sah ataupun kandungan yang dikongsi tanpa disemak terlebih dahulu.

“Oleh itu, masyarakat perlu sentiasa berwaspada, berfikir secara kritikal serta mengamalkan penggunaan Internet yang lebih selamat dan beretika,” katanya.

Terdahulu, Suee Lim merasmikan Mini Karnival Kempen Internet Selamat Sabak Bernam anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dengan objektif memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap keselamatan dalam talian serta menggalakkan penggunaan Internet secara selamat dan bertanggungjawab.

Program yang menghimpunkan kira-kira 300 peserta daripada komuniti setempat berkenaan, antara lain membabitkan sesi taklimat Internet selamat serta Kandungan Dalam Talian dan Tanggungjawab Pengguna.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.