Encik Zoq Tinggal di Flat

21 Jun 2026, 1:56 AM
Encik Zoq Tinggal di Flat

Oleh Ahmad Husain Ahmad

Ilustrasi Muizzah 

Encik Zoq ialah makhluk asing pertama yang dibenarkan menyewa di flat kami. 

Encik Zoq bukanlah makhluk asing yang pelik. Dia biasa-biasa sahaja seperti kita semua.  

AJK flat telah menerima Encik Zoq sebagai penyewa selepas mengadakan mesyuarat tergempar dengan undian majoriti membenarkan Encik Zoq tinggal di flat kami.

“Kita tak boleh bersikap rasis dengan makhluk asing. Mereka pun ada hak untuk tinggal di planet bumi,” kata pengerusi AJK flat yang bersikap terbuka. Ahli-ahli lain tidak membantah dan menerima usul itu sebulat suara.

Encik Zoq berpindah ke flat kami tanpa apa-apa masalah. Cuma, kapal angkasa kecil Encik Zoq terpaksa diparkir di luar flat. Kapal angkasa Encik Zoq jika mahu diparkir dalam kawasan flat akan memakan tiga petak parkir. Itu akan menyusahkan penduduk kerana parkir di flat kami sangat terhad. 

Encik Zoq berasal dari Planet yang kurang maju dan agak ketinggalan dari kejuruteraan aeroangkasa. Kapal angkasa Encik Zoq menggunakan teknologi dan rekaan yang dianggap sudah lapuk oleh para saintis di planet lain. 

Menjelang bulan Ramadan, Encik Zoq ikut sama-sama berbuka puasa di surau flat kami. Kami tidak pernah bertanyakan apakah Encik Zoq berpuasa atau tidak. Kami tidak pernah bertanyakan tentang hal peribadinya. Budak-budak sukakan Encik Zoq kerana dia baik hati dan selalu mengeluarkan bermacam-macam hadiah dari telapak tangannya.

Saya sendiri tidak tahu kenapa kami memanggilnya ‘Encik’ sedangkan tidak perlu pun kami memanggilnya Encik. Ber-encik-encik pula penduduk flat saya dengan makhluk asing. Bersopan santun sungguh. Padahal di flat kami itu ramai yang kurang ajar dan kaki gaduh.

Dalam mesyuarat penduduk di mana Encik Zoq dijemput sama, pengerusi mengemukakan masalah lampu koridor yang banyak rosak. Kos diperlukan untuk mengantikan lampu-lampu yang rosak. Encik Zoq langsung menawarkan bantuannya.

“Saya boleh nyalakan lampu-lampu koridor yang rosak dengan menggunakan tenaga dalam tubuh saya. Itu akan menjimatkan kos pembelian lampu dan kos elektrik,” usul Encik Zoq tersenyum bangga.

Sejak itu, lampu-lampu koridor di dua blok flat kami menyala sepenuhnya di setiap tingkat menggunakan tenaga daripada tubuh Encik Zoq.

Satu malam, penduduk nampak cahaya hijau berputar-putar di atas padang bola berhadapan blok saya. Sebuah piring terbang turun di tengah padang. 

“Ahmad Farhad Salvador, siapa yang datang semalam dengan kapal angkasa bentuk tiga segi macam kuih kapit?” tanya pengerusi AJK flat, Pak Cik Tiblawi. Saya memanggilnya Pak Tib.

Pak Tib satu-satunya orang di flat kami yang memanggil saya dengan nama penuh. Kadang-kadang dia memanggil nama saya lengkap dengan bin sekali, Ahmad Farhad Salvador bin Ahmad Fuad Fernando. 

“Ahmad Farhad Salvador, kau pergi tanya Encik Zoq, makhluk asing mana pula yang datang ke flat kita,” arah Pak Tib macam ketua penyiasat.

“Kapal angkasa itu milik Zuki, kawan saya. Zuki sedang putus cinta. Sebab itu dia bawa diri ke bumi. Saya tak tahu berapa lama dia akan tinggal dengan saya. Hatinya masih luka. Zuki sedang cuba melupakan kekasihnya.”

Semasa makan di gerai dekat flat, saya bertanya kepada Pak Tib, “Kenapa Pak Tib nak tahu berapa lama Zuki tinggal di sini?” 

“Bila kita terima Encik Zoq tinggal di flat, itu bukan bermakna kita terima semua makhluk asing tinggal di flat. Mereka tak boleh suka-suka hati bawa pemahaman dan budaya mereka ke sini.” Pak Tib mula menunjukkan sikap wasangka. 

Sebelum ini, Pak Tib beria-ia menentang orang-orang flat yang bersikap rasis. Pendatang dan pelarian pun Pak Tib sayang atas dasar kemanusiaan dan sesama agama.

Pagi esoknya, Pak Tib berkata kepada saya,“Ahmad Farhad Salvador, semalam aku nampak Encik Zoq dengan kawan dia menghadap matahari pagi dan angkat-angkat tangan. Aku syak mereka sembah matahari.” Pak Tib perlahankan suara supaya orang di meja sebelah tempat kami selalu sarapan tidak dengar.  

“Hal macam itu tak boleh dibiarkan berlaku di flat kita. Susah kita nanti kalau agama sesat disebarkan. Anak-anak muda macam kau ni cepat sangat terpengaruh. Sikit-sikit FOMO. Sikit-sikit FOMO. Kau pula rapat dengan Encik Zoq.” Pak Tib menyuarakan kebimbangannya. 

Saya tak tahu kenapa Pak Tib bercakap tentang FOMO. Saya syak dia tak tahu pun apa makna FOMO. Dia pakai bubuh saja perkataan FOMO dalam ayatnya.

“Apa Pak Tib nak saya buat?” tanya saya seperti pengikut kumpulan kultus yang taat. 

Pak Tib berdehem-dehem seperti sedang berfikir. “Kau pergi tanya Encik Zoq apa agama dia. Sekarang, kita perlu tahu apa agama dia,” kata Pak Tib. Walhal, sebelum in Pak Tib melarang sesiapapun bertanyakan tentang agama Encik Zoq. 

“Agama dia, itu hal dia. Kita jangan sibuk urusan agama orang lain.” Begitu kata-kata Pak Tiba sebelum ini. Sekarang, Pak Tib pusing cakap pula. Memang orang tua itu tidak tetap pendiriannya. Prinsipnya boleh berubah-ubah seperti cuaca.

Saya sebenarnya tidak bersetuju dengan cara Pak Tib itu. Namun saya diam sahaja. 

Ketika bertemu Encik Zoq, saya bertanya. “Boleh tak saya tahu apa agama Encik Zoq?” 

Saya bertanya dengan hati-hati, takut Encik Zoq tersinggung nanti.

 “Saya tak ada agama. Di planet kelahiran saya, kami tak ada agama.” Encik Zoq berterus terang tanpa berselindung.

Saya diam tiga saat mendengar pengakuan Encik Zoq itu.

“Pak Tib kata dia nampak Encik Zoq dan Zuki  menghadap matahari pagi sambil buat ritual sembah matahari. Betul, ke?” Saya bertanya kemudian.

Encik Zoq tergelak kecil. 

“Apa yang kami buat tu ialah untuk mendapatkan tenaga dari sinar matahari pagi. Sinar matahari pagi mempunyai tenaga yang cukup kuat untuk kami serap ke dalam tubuh. Tenaga itulah yang saya guna untuk menyalakan lampu-lampu koridor,” terang Encik Zoq.

Esoknya saya berjumpa dengan Pak Tib macam biasa. Dia belanja saya sarapan macam biasa. Kami selalu ada banyak masa luang untuk bersembang-sembang kerana saya penganggur dan Pak Tib pula sudah pencen. Selalunya, saya akan pesan makanan banyak-banyak sebab Pak Tib perlukan orang untuk bersembang-sembang dengannya sewaktu sarapan. 

Banyak kali saya berhutang dengan Pak Tib kerana saya tahu dia sering lupa berapa kali saya berhutang dengannya. Lama-kelamaan, Pak Tib lupa terus tentang hutang saya kepadanya. Selamatlah saya, tak perlu bayar hutang. 

Kalau tiba-tiba Pak Tib teringat tentang hutang saya kepadanya, saya guna kaedah jawab soalan dengan soalan atau psikologi terbalik. Saya akan bertanya, “Bila saya berhutang dengan Pak Tib? Saya pernah sekali saja berhutang dengan Pak Tib. Dah lama saya bayar hutang tu. Mana ada saya berhutang lagi?”

Terus Pak Tib jadi keliru. Terus dia tidak bertanya lagi tentang hutang yang tak pernah saya bayar.

Saya bagi laporan tentang Encik Zoq yang tidak beragama kepada Pak Tib.

“Betul sangkaan aku, Encik Zoq tu ateis. Dia pura-pura saja buat baik pergi surau. Dia tentu ada agenda dia sendiri.” Terbayang rasa kurang senang di wajah Pak Tib dengan misai putih melengkong ke bawah seperti Hulk Hogan.

“Kita tak boleh benarkan orang yang tak ada agama tinggal di sini. Nanti dia sebarkan pemikiran sesat dia kepada yang lain!” Pak Tib keraskan suara.

“Tapi dia makhluk asing. Makhluk asing mana ada agama?” balas saya.

“Makhluk asing pun kena ada agama,” bantah Pak Tib. 

“Kita kena berdakwah kepada makhluk asing. Itu tanggungjawab kita. Alam semesta ini ciptaan Tuhan. Semua makhluk perlu bertuhan.” Pak Tib pandang saya dengan muka serius seolah-olah saya sedang menyebarkan virus.

“Kita mesti tuntun Encik Zoq ke jalan benar. Lagipun dia rajin bersihkan surau. Atas amalan baik dia itu, kita kena selalu ucapkan kepadanya, semoga Encik Zoq mendapat hidayah. Ucapkan kata-kata tu setiap hari bila berjumpa dengannya. Lama-kelamaan, tentu hatinya akan jadi lembut untuk menerima cahaya kebenaran,” saran Pak Tib sebelum kami bersurai selepas makan roti kirai di gerai.  

“Saya belum terfikir mahu menganut mana-mana agama.” Akui Encik Zoq ketika saya bertanyakan apakah dia pernah terfikir untuk memeluk mana-mana agama. 

“Semoga Encik Zoq mendapat hidayah.” Ucap saya seperti yang disarankan oleh Pak Tib. 

Begitulah setiap hari. Setiap kali saya berjumpa dengan Encik Zoq, saya akan berikan ucapan yang sama.

“Semoga Encik Zoq mendapat hidayah.”

“Semoga Encik Zoq mendapat hidayah.”

“Semoga Encik Zoq mendapat hidayah.”

“Ahmad Farhad Salvador, kelmarin aku nampak Encik Zoq laga-laga hidung sampai macam nak bercium dengan Zuki depan pintu rumah.” Pak Tib datang mencari saya ketika saya sedang mencuci motor di bawah flat kerana malam nanti saya mahu berlumba haram. 

Sebagai seorang mat rempit, perlumbaan haram ialah aktiviti penting dalam hidup saya. Saya tak takut mati. Hidup hanya sekali. Mati biarlah berkali-kali. Itulah yang saya rasa setiap kali saya memecut laju dengan aksi berbahaya di atas jalan raya. Setiap kali saya keluar berlumba, saya rasa saya akan mati malam itu. Itu yang membuatkan saya rasa saya sudah mati berkali-kali. 

“Aku rasa Encik Zoq tu golongan songsang.” Dakwa Pak Tib. “Kita tak boleh benarkan golongan LBGTQ tinggal di sini. Bahaya.” 

Sebagai orang suruhan Pak Tib, saya pun pergi bersemuka dengan Encik Zoq. 

“Saya dan Zuki berlaga-laga hidung sebagai tanda ucapan selamat tinggal sebelum dia pulang ke Planet Zoten. Itu cara kami mengucapkan selamat tinggal.”  Encik Zoq memberikan penjelasan.

“Kita tak boleh benarkan Encik Zoq tinggal di flat kita lagi. Dia bahaya. Dia tak ada agama. Kita kena suruh dia pulang ke planetnya.” 

Pak Tib asyik berkata yang Encik Zoq berbahaya tanpa dia tahu saya lagi berbahaya sebab saya pelumba haram yang bila-bila masa sahaja akan membahayakan pengguna jalan raya lain. Saya juga sudah banyak kali tidak membayar hutangnya. Itu juga bahaya sebab saya ada rancangan mahu berhutang lagi padanya tanpa niat mahu membayar. 

“Pelarian yang tinggal di flat ni pengotor, suka meludah, naik motor tak ada lesen, langgar orang, buka kedai tak ada permit, tak bayar bil hospital kerajaan. Mereka lagi bahaya,” hujah saya.

Saya memang sudah lama jaki dengan pelarian yang menunggang motor dan memandu ikut suka hati tanpa diambil tindakan. Sedangkan saya perlu bersusah payah untuk mendapatkan lesen memandu, pergi kelas memandu, bayar duit kelas memandu yang mencekik darah,  buat ujian memandu, bayar cukai jalan dan insurans.

“Pelarian tu semua ada agama. Mereka sembahyang macam kita. Mereka saudara kita. Mana belas kasihan kau sesama manusia? Jangan sebarkan kebencian!” Pak Tib selalu membela pelarian yang sudah ramai tinggal di flat kami sehingga kami menjadi minoriti.

“Kau jangan samakan pelarian yang ada agama dengan makhluk asing yang tak ada agama.” Marah Pak Tib lagi. Saya diam. Malas mahu bertaki.

Hari ini saya mendapat berita yang Encik Zoq akan kembali ke planet tempat asalnya. Saya terus pergi ke kapal angkasanya. Encik Zoq sedang panaskan enjin kapal angkasa sebelum terbang sambil mendengar lagu A. Romzi & The Hooks. Encik Zoq suka mendengar lagu-lagu A. Romzi sejak dia tinggal di bumi. Saya pernah berkata kepadanya, lagu-lagu yang dia dengar itu sudah ketinggalan zaman. Encik Zoq jawab, “Saya lebih suka menjadi orang yang ketinggalan zaman kerana waktu terasa lebih perlahan.”

Encik Zoq turun dari kapal angkasa untuk bertemu saya.

“Saya tahu orang-orang flat tak suka saya tinggal di sini lagi. Jadi, lebih baiklah saya pergi. Sejak orang-orang flat tahu yang saya tiada agama, sikap orang-orang flat mula berubah. Mereka buat saya rasa terasing. Mentang-mentanglah saya makhluk asing.” Encik Zoq meluah rasa.

Saya pujuk Encik Zoq agar dia mengubah keputusannya tapi Encik Zoq tetap mahu pulang ke Planet Zoten. 

“Lebih baik saya kembali ke planet saya. Di sana, semua orang sama. Tak ada orang yang akan menilai dan menghakimi saya.”

Saya dan Encik Zoq berjabat tangan seperti dua orang pahlawan yang harus berpisah jalan.

“Semoga Encik Zoq mendapat hidayah dan kembali tinggal di flat kami lagi,” kata saya sebelum Encik Zoq menutup pintu kapal angkasa yang berbentuk lonjong.

“Semoga kau juga mendapat hidayah. Jangan berlumba haram dan bayar hutang Pak Tib,” kata Encik Zoq seakan-akan memerli. Terus saya rasa sakit hati. Menyesal saya berdoa yang baik-baik untuknya. Saya tarik balik doa saya. Saya tak suka orang perli-perli saya. Terutama sekali perli yang datang daripada makhluk asing sepertinya. Walaupun kata-kata itu betul tapi saya tidak boleh terima. Harga diri saya rasa terluka. 

Ketika melihat kapal angkasa Encik Zoq yang hodoh itu kian meninggi, saya berharap dia tidak kembali lagi ke flat kami. Orang yang tidak beragama tidak seharusnya hidup di kalangan kami.

Malam itu seluruh flat kami bergelap. Rupanya tenaga yang dialirkan daripada tubuh Encik Zoq ke lampu-lampu koridor dan ke rumah-rumah kami tidak boleh menyala lagi selepas Encik Zoq pergi. 


Kategoriseni budaya

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.