MBPJ tawar 32 perkhidmatan dalam talian, mudahkan urusan penduduk Petaling Jaya

21 Jun 2026, 7:00 AM
MBPJ tawar 32 perkhidmatan dalam talian, mudahkan urusan penduduk Petaling Jaya

PETALING JAYA, 21 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kini menyediakan 32 perkhidmatan dalam talian bagi memudahkan urusan penduduk di kawasan pentadbirannya mengakses pelbagai kemudahan dengan lebih pantas, mudah dan efisien.

Datuk Bandarnya Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata perkhidmatan yang ditawarkan merangkumi pelbagai urusan termasuk pembayaran cukai taksiran, perancangan dan kawalan bangunan, lesen dan permit, kemudahan awam serta semakan hartanah.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah (kiri) dan Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon merasmikan Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya ke-20 di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 20 Jun 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“MBPJ komited untuk terus mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan perbandaran melalui pendigitalan sistem dan perkhidmatan.

“Teknologi bukan sekadar simbol kemodenan, malah menjadi pemangkin kepada kesejahteraan rakyat serta pembangunan bandar yang mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Bandar Petaling Jaya ke-20 yang disempurnakan EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah, semalam.

Persembahan perarakan Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya ke-20 di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 20 Jun 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Mengangkat tema “PJ Bandar Paling Bahagia dan Mampan”, sambutan kali ini turut menawarkan pelbagai manfaat kepada warga kota termasuk parkir percuma serta akses percuma ke kemudahan sukan seperti kolam renang dan padang pada 20 Jun.

Sementara itu, acara kemuncak sambutan pada sebelah malam menampilkan pertandingan perarakan yang melibatkan kira-kira 600 peserta daripada 15 kontinjen sektor awam dan swasta.

Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan bagi memeriahkan sambutan, termasuk persembahan artis popular seperti Shidi Data, Naim Daniel, Thalita dan Ernie Zakri.

Persembahan perarakan Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya ke-20 di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 20 Jun 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.