SHAH ALAM, 20 JUN: Program MySel yang dilaksanakan Kerajaan Negeri berjaya membantu 2,342 individu menyelesaikan pelbagai isu berkaitan dokumen pengenalan diri sejak diperkenalkan pada 2018 hingga Disember 2025.
EXCO Pembasmian Kemiskinan Papparaidu Veraman berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen berterusan Selangor dalam memastikan setiap rakyat memiliki identiti sah bagi membolehkan mereka menikmati hak serta kemudahan sebagai warganegara.
“Hari ini kita meraikan 100 penerima manfaat Program MySel yang memperoleh dokumen pengenalan diri.
"Kejayaan ini mungkin kelihatan kecil pada sesetengah pihak, namun bagi penerima dan keluarga mereka, ia membawa makna besar kerana membuka pintu kepada pelbagai peluang baharu dalam kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Santuni Penerima Dokumen Pengenalan Diri di bawah Program MySel Tahun 2026.
Program itu meraikan 100 penerima manfaat yang berjaya memperoleh dokumen pengenalan diri menerusi bantuan MySel.
Papparaidu berkata sepanjang tempoh 2018 hingga Disember 2025, Program MySel menerima 5,852 permohonan membabitkan pelbagai kategori dokumen pengenalan diri.
Daripada jumlah itu, 2,342 permohonan berjaya diluluskan dan diselesaikan menerusi kerjasama antara Kerajaan Negeri, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen Malaysia serta pelbagai agensi berkaitan.
Menurut beliau, permohonan berkaitan kewarganegaraan mencatat jumlah tertinggi iaitu 1,716 kes, diikuti dokumen anak angkat 1,447 permohonan dan sijil kelahiran 1,185 permohonan.
Bagi jumlah kelulusan pula, kategori kewarganegaraan merekodkan 774 kes, diikuti kategori anak angkat 711 kes, sijil kelahiran 398 kes, kad pengenalan merah 296 kes dan urusan imigresen 163 kes.

Papparaidu turut memaklumkan tahun 2025 mencatat peningkatan ketara apabila 1,130 kes berjaya diselesaikan berbanding hanya 389 kes pada tahun sebelumnya.
Katanya, peningkatan itu mencerminkan keberkesanan usaha Kerajaan Negeri dalam membantu golongan yang berdepan masalah dokumentasi sehingga menjejaskan akses kepada pendidikan, pekerjaan, bantuan kerajaan serta pelbagai kemudahan asas.
“Setiap dokumen yang diperoleh bukan sekadar sehelai kertas atau kad pengenalan. Ia merupakan kunci kepada pelbagai peluang yang mampu mengubah kehidupan individu dan keluarga mereka,” katanya.











