SHAH ALAM, 21 JUN: Melihat anak membesar di depan mata adalah impian setiap bapa. Namun bagi Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal, amanah yang dipikul demi negara menuntut pengorbanan besar sehingga beliau tidak dapat bersama anak tunggalnya pada setiap fasa penting kehidupan.
Sepanjang puluhan tahun berkhidmat dalam bidang penguatkuasaan, beliau terpaksa berjauhan dari keluarga dalam tempoh yang panjang, termasuk ketika anak lelakinya masih kecil.
Mengimbau pengalaman itu sempena Hari Bapa, Nik Ezanee berkata antara detik paling mencabar ialah apabila beliau diarahkan bertukar ke Kota Kinabalu, Sabah seminggu sebelum isterinya dijangka bersalin.
Walaupun diberi sedikit penangguhan untuk menemani isteri yang baru bersalin, beliau akhirnya terpaksa melaporkan diri di Sabah ketika anaknya baru berusia sebulan.
“Dua tahun setengah saya berada di sana. Bila anak itu masih bayi, jarang-jarang jumpa. Bila kita balik, nak dapat dengan dia pun susah.
“Kalau suami dan isteri duduk berjauhan, orang boleh cakap apa sahaja. Saya dah lalui dua kali. Bila balik nak rapat dengan anak, ia ambil masa bertahun-tahun,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Media Selangor.

Menurut beliau, kesan berjauhan itu bukan sahaja dirasai ketika anak masih kecil, malah berlarutan sehingga anak meningkat usia.
Setiap hari adalah Hari Bapa
Nik Ezanee, 43 mengakui banyak detik penting yang tidak sempat disaksikan kerana terlalu sibuk dengan tugas, termasuk ketika negara berdepan pandemik COVID-19.
“Ketika COVID-19, saya keluar rumah pukul 4 pagi dan balik pukul 11 atau 12 malam.
"Suara dia pecah pun saya tak perasan. Benda-benda macam ini saya terlepas,” katanya.
Beliau berkata pengalaman itu mengajarnya bahawa Hari Bapa bukan sekadar diraikan setahun sekali, sebaliknya penghargaan terhadap keluarga perlu dizahirkan setiap hari.
“Setiap hari adalah Hari Bapa. Kalau kita rasa menghargai, setiap kali kita nampak anak kita, kita bersyukur.
“Hari ini bila saya tengok gambar-gambar lama, kadang-kadang menitik air mata. Saya rindu budak itu, tetapi dia dah besar,” katanya.
Kini anak lelakinya berusia 18 tahun dan hubungan mereka semakin baik. Malah, beliau menyifatkan detik menunaikan solat Subuh berjemaah bersama anak di masjid sebagai antara hadiah paling bermakna buat dirinya sebagai seorang bapa.
Isteri tulang belakang keluarga
Namun di sebalik segala cabaran dilalui, Nik Ezanee tidak pernah melupakan individu yang menjadi tulang belakang keluarga sepanjang ketiadaannya.
“Dalam hal ini saya perlu memberikan penghargaan kepada isterilah. Dia yang membesarkan dan mengasuh anak kami sepanjang ketiadaan saya,” katanya.
Ditanya bagaimana beliau mengharungi kehidupan berjauhan dengan keluarga, Nik Ezanee merendah diri dengan mengakui dirinya bukanlah seorang yang kuat.
“Saya tak kuat. Nak cakap saya kuat, tak juga. Tapi buat yang terbaiklah. Solat jangan tinggal, doa,” katanya.
Bagi Nik Ezanee, pengorbanan seorang bapa mungkin tidak selalu terlihat, namun setiap detik yang terlepas akan sentiasa meninggalkan kesan.
Justeru, beliau berharap golongan bapa terutama yang masih muda menghargai masa bersama keluarga selagi peluang itu masih ada.







