SHAH ALAM, 20 JUN: Sebanyak 55 kontena mengandungi sisa elektronik (e-sisa) yang dibawa masuk secara haram ke negara ini dihantar semula ke negara asal dalam tempoh sebulan, kata Komander Pintu Masuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Pelabuhan Klang.
DCP Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, tindakan itu sebahagian daripada usaha berterusan AKPS membendung kemasukan e-sisa yang boleh memberi kesan kepada alam sekitar dan keselamatan negara.
Menurutnya, daripada 148 kontena yang dikenal pasti dalam fasa pertama operasi, 55 kontena dihantar keluar manakala selebihnya sedang melalui proses ditetapkan.
“Setakat ini kita dah keluarkan 55 kontena...untuk fasa pertama kita ada 148 untuk dikeluarkan, daripada 148 itu 55 dah keluar. Untuk fasa kedua tambahan kepada 148 itu ada 615 lagi.

"Bab siasatan, pertuduhan dirujuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebab apa buat sementara waktu, peranan AKPS sangat terhad tetapi sangat penting sebab kalau kita gagal 'stop' kontena dari keluar pelabuhan akan sampai ke Malaysia.
"Kita nak 'stop' keluar dari pelabuhan, kita hantar balik. Itu peranan, walaupun terhad sangat penting... hubungan dengan PDRM sangat cantik sekiranya ada maklumat terlepas dah kenal pasti lokasi bagi kepada PDRM," katanya kepada Media Selangor.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya serius dalam menghentikan kemasukan kontena sisa elektronik selain tindakan PDRM yang agresif dan Jabatan Alam Sekitar melaksanakan serbuan terhadap kilang pemprosesan sama ada memilik permit atau sebaliknya.
"Setakat ini, tiada peningkatan dan hasil risikan kita dengar yang asalnya nak datang ke Malaysia dah di 'divert' ke mana, kita tak nak cakap. Kita dalam proses yang mana kontena dihantar keluar ada senarai.
"Apa AKPS buat, di setiap pintu masuk sekiranya kontena ini masuk sekali lagi, kita akan buat pemeriksaan, automatik. Sekiranya dagangan itu lain, kita keluarkan dari senarai, jika benda sama kita 'reject'," ujarnya.
Berhubung penubuhan sekretariat bagi menyelaras dan melaksanakan pengurusan e-sisa dengan lebih berkesan, beliau menjelaskan langkah itu banyak membantu serta memudah cara tindakan yang dilaksanakan agensi berkaitan.










