SHAH ALAM, 4 JUN: Telefon pintar, komputer, mesin fotostat, pencetak sehinggalah peti ais antara barangan sisa elektronik (e-sisa) atau sisa berjadual yang dibawa masuk ke Malaysia.
Barangan terlarang itu mengandungi logam berbahaya seperti merkuri dan plumbum yang mencemarkan alam sekitar dan kemasukannya adalah untuk pengambilan bahan berharga seperti emas, perak dan tembaga.
Pelabuhan Klang antara laluan atau pintu masuk barangan ini dan ketika ini lebih 700 kontena mengandungi e-sisa dan bahan terlarang lain dalam proses dihantar ke negara asal atau pengeksport.
Kemasukan barangan tidak dibenarkan itu dikesan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Pelabuhan Klang bersama agensi penguatkuasaan lain.
Komander Pintu Masuk AKPS Pelabuhan Klang DCP Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, e-sisa itu membawa ancaman besar kepada negara bukan saja alam sekitar tetapi juga kesihatan dan ekonomi jika tidak diurus dengan betul.
"E-sisa sudah dimasukkan ke dalam jadual larangan import dan memang tidak boleh dibawa masuk.
"Jadi keputusan terbaik ialah menghantarnya kembali ke negara asal," katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Beliau yang menggalas tanggungjawab itu sejak 12 Januari lalu berkata, ketika awal bertugas, daripada 10 kontena yang diperiksa, enam daripadanya positif mengandungi e-sisa.
Menurutnya, itu sudah memberi indikasi bahawa walaupun skala pemeriksaan kecil, kadar ketepatan mencecah 60 peratus.
Sejak itu katanya, AKPS dengan kerjasama agensi lain menahan ratusan kontena dan kontena yang dikenal pasti positif e-sisa akan dihantar semula ke negara asal.
Dari 27 Januari hingga 19 Mei lalu, hasil pemeriksaan mendapati 330 kontena dikenal pasti positif mengandungi e-sisa dan tindakan penguatkuasaan diambil apabila 101 kontena dihantar ke negara asal.
"Kejayaan ini membuktikan komitmen serta ketegasan agensi penguat kuasa dalam memastikan Malaysia tidak dijadikan destinasi pelupusan haram sisa elektronik antarabangsa," katanya.
Beliau berkata, bahan yang tidak dapat dikesan atau terlepas ia akan memberi kesan kepada masyarakat dan negara.
"Saya ada terbaca kajian yang menyatakan daripada satu tan e-sisa, boleh dapat antara 160 hingga 300 gram emas tetapi pada masa sama, lebih 500 kilogram bahan tidak boleh dilupuskan dengan selamat.

"Bayangkan sekarang kita sudah menahan lebih 7,000 tan e-sisa. Di mana kita hendak lupuskan semua itu? Kalau dilupuskan di sini pun, bahan buangan berbahaya itu masih wujud.
"Tambahan pula, ada kilang haram yang memproses e-sisa. Selepas mengambil elemen bernilai seperti emas, perak dan tembaga, baki bahan toksik seperti merkuri dan plumbum dibuang entah ke mana, jadi isu ini bukan sahaja berkaitan ekonomi tetapi juga ancaman besar kepada alam sekitar dan kesihatan negara," katanya.
Prosedur pemeriksaan kontena
Ketika ini pemeriksaan kontena yang masuk melalui Pelabuhan Klang dijalankan oleh AKPS secara manual.
Nik Ezanee berkata, selepas menerima dokumen atau senarai rasmi barangan, kargo daripada operator, pihaknya akan mengkaji dari negara mana kontena itu datang dan deklarasinya.
"Kebanyakan deklarasi menyatakan ia adalah barang elektronik terpakai, plastik kitar semula atau bahan buangan plastik. Ini antara kategori yang sering digunakan untuk menipu sedangkan kandungannya ialah e-sisa.

"Kita akan membuat pengurusan risiko dan mengenal pasti syarikat yang sering membawa masuk kontena bermasalah. Jika nama syarikat itu sudah dikenal pasti berisiko, setiap kontena mereka diperiksa dengan lebih teliti.
"Selain itu, kita juga menerima maklumat risikan daripada orang awam. Banyak maklumat yang diterima sangat tepat, bukan sahaja berkaitan e-sisa tetapi juga penyeludupan lain seperti daging ayam dengan sijil halal yang diragui," katanya lagi.
Menurutnya sistem AKPS masih belum sempurna kerana agensi baharu namun ia bukan alasan untuk mereka tidak bertindak atau menjalankan tugas dan ia akan ditambah baik dari semasa ke semasa.
Katanya, jika e-sisa masih berada di pelabuhan, pihaknya akan memulakan proses penghantaran semula ke negara asal.
Bagaimanapun jika ada kontena yang terlepas keluar dari pelabuhan, ketika itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan.
"Kita sentiasa berkongsi maklumat. Kalau saya terima maklumat berkaitan kilang haram atau lokasi penyimpanan e-sisa di luar pelabuhan, saya akan salurkan kepada PDRM untuk tindakan serbuan dan rampasan.
"Realitinya, lebih 15 juta kontena keluar masuk tahun lalu. Jadi memang mustahil untuk kita memantau semuanya secara menyeluruh buat masa ini," katanya.

Kerjasama antara agensi perkukuh pintu sempadan negara
AKPS turut mendapat kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Pelabuhan Klang, SIRIM Berhad serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Selain itu PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Nik Ezanee berkata, kerjasama dengan agensi lain sangat baik malah hubungan antara mereka semakin bertambah rapat.
"Pada awalnya memang sukar kerana setiap agensi ada cara kerja sendiri tetapi apabila kita kerap bermesyuarat dan duduk semeja, lama-kelamaan hubungan menjadi lebih baik.
"Kami semua sepakat bahawa e-sisa ini memberi ancaman besar kepada negara. Ia telah dimasukkan dalam jadual larangan import dan memang tidak boleh dibawa masuk. Jadi keputusan terbaik ialah menghantarnya kembali ke negara asal," katanya.
Menurutnya, ketika ini AKPS masih belum mempunyai pegawai penyiasat sendiri meskipun akta membolehkan mereka menjalankan siasatan.
"Di Pelabuhan Klang, kita belum ada pegawai penyiasat, pegawai operasi atau pegawai risikan khusus.

"Namun, saya mula melatih pegawai sedia ada. Contohnya, ada pegawai yang asalnya hanya menjaga pintu pagar, saya tarik dan ajar tentang risikan. Risikan di pelabuhan bukan jadi 'spy', tetapi lebih kepada mengkaji manifest, dokumen dan mengenal pasti ketidakselarasan," katanya.
Beliau berkata, untuk siasatan rasmi, pihaknya bekerjasama dengan JKDM yang mempunyai pasukan penyiasatan dan jika ada maklumat berkaitan penyeludupan ia akan disalurkan terus kepada pihak berkuasa itu untuk tindakan lanjut.
"Bagi saya, tiada guna untuk setiap agensi menjaga ego atau kawasan masing-masing. Yang penting ialah keselamatan pelabuhan dan integriti negara. Kalau kita tidak bekerjasama, penyeludup yang akan untung.
"Sebab itu saya ambil pendekatan terbuka. Mana AKPS boleh bantu, kita bantu. Kalau kita tak cukup anggota, kita minta bantuan Kastam. Yang penting, operasi berjalan lancar," katanya.
Menurutnya, kerjasama antara agensi memainkan peranan sangat penting malah ia bergantung sikap pegawai dalam agensi itu sendiri.
"Kalau kita ikhlas bekerja demi keselamatan negara, kita tak lagi fikir soal pangkat atau agensi mana lebih hebat.
"Kalau semua pihak boleh duduk semeja dan fokus kepada kekuatan masing-masing, banyak masalah boleh diselesaikan dengan lebih cepat," katanya.

Menurutnya, satu jawatankuasa kerja atau Joint Task Force (JTF) diwujudkan di Pelabuhan Klang membabitkan pelbagai agensi dan hasilnya banyak keputusan dapat dibuat dengan pantas serta lancar.
Nik Ezanee berkata, dalam tempoh beberapa bulan ini, beliau melihat perubahan sangat besar berlaku terutama aspek koordinasi, pelaporan dan gerak kerja.
"Setakat ini, hasil pemeriksaan dan tindakan yang dijalankan melibatkan nilai dagangan mencecah RM51 juta dalam tempoh empat bulan sahaja.
"Bagi e-sisa pula, lebih 7,000 tan telah ditahan. Semua ini bukan hasil kerja saya seorang tetapi kerjasama AKPS, JAS Selangor, Kastam Selangor, SIRIM, Lembaga Pelabuhan Klang dan pelbagai agensi lain.
"Harapan saya, kerjasama strategik antara semua agensi berkaitan akan terus diperkukuhkan bagi memastikan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara berada pada tahap terbaik demi melindungi alam sekitar, keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.













