150 kontena e-waste haram akan dihantar pulang Mei ini

15 Apr 2026, 2:27 AM
150 kontena e-waste haram akan dihantar pulang Mei ini

SHAH ALAM, 15 APRIL: Malaysia mempergiat usaha membanteras kemasukan sisa elektronik (e-waste) haram dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 150 kontena dihantar pulang ke negara asal menjelang 1 Mei ini.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata sasaran itu dibuat susulan kemajuan operasi pembersihan kontena hasil pemeriksaan bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan.

Menurutnya, usaha tersebut bermula dengan penghantaran kumpulan pertama membabitkan 15 kontena melalui Westports pada jam 8 pagi semalam.

“Kapal tiba di Westports pada petang Isnin dan kontena dimuatkan sebelum berlepas pada pagi Selasa.

“Sebanyak 40 lagi kontena dijangka dihantar keluar lewat minggu ini, dengan pasukan penguat kuasa terus memproses kes yang masih berbaki,” katanya seperti dilapor NST.

Beliau berkata hasil pemprofilan risiko dan risikan turut mengenal pasti 21 lagi kontena dipercayai mengandungi e-waste yang dijadual diperiksa pada Jumaat ini.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal menunjukkan sebahagian sisa e-waste yang dirampas dalam Op Green Shield sejak 26 Januari lalu. Foto Facebook AKPS Port Klang

Operasi berkenaan dilaksanakan menerusi Op Green Shield yang bermula 26 Januari lalu, bertujuan memperkukuh pemantauan, pemeriksaan serta tindakan penguatkuasaan, selain memperkemas proses penghantaran semula e-waste haram selaras undang-undang dan konvensyen antarabangsa.

Sehingga kini, sebanyak 21 operasi dijalankan melibatkan pemeriksaan terhadap 456 kontena, dengan 254 daripadanya disahkan mengandungi e-waste.

Nik Ezanee berkata secara keseluruhan, 803 kontena termasuk baki daripada operasi terdahulu telah dikenal pasti untuk dihantar keluar dari negara ini.

Dalam operasi sama, pihak berkuasa turut merampas lebih 6,200 tan e-waste di Pelabuhan Klang.

“Ini satu pencapaian penting yang menunjukkan kerjasama semua agensi mampu meningkatkan keberkesanan dalam menangani import e-waste haram,” katanya.

Beliau menambah kejayaan itu hasil penyelarasan Pasukan Petugas Bersama yang terdiri daripada AKPS, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, SIRIM, Lembaga Pelabuhan Klang dan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.