KUALA LUMPUR, 14 MEI: Kerajaan sedang mengenal pasti kaedah bagi memberi insentif kepada pengendali pengangkutan menggunakan trak elektrik (EV) yang menjadi sebahagian usaha jangka panjang mengurangkan kos subsidi diesel.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) akan membentangkan pandangan mengenai perkara itu dalam mesyuarat Pasukan Petugas EV Kebangsaan pada minggu depan bagi menggalakkan perbincangan mengenai insentif penggunaan trak EV.
"Ini adalah sesuatu yang bagi saya adalah wajar, bukan hanya kerana kita perlu mencapai sasaran sifar bersih menjelang 2050, tetapi juga dari segi kecekapan bahan api serta kos kepada kerajaan.
"Lebih baik sebenarnya untuk kerajaan memberi insentif kepada pengendali menggunakan trak EV kerana bil (kos) subsidi diesel kita amat tinggi, terutamanya pada masa ini,” katanya ketika merasmikan acara Ekspo Kenderaan Komersial Malaysia (MCVE) 2026 di sini, hari ini.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Loke bagaimanapun berkata kos tinggi trak EV kekal menjadi kekangan terbesar penggunaan secara meluas dalam kalangan pengendali pengangkutan.
"Trak EV misalnya adalah dua hingga tiga kali lebih mahal berbanding trak diesel biasa. Sebab itu kita sedang berbincang untuk melihat insentif dari segi pengecualian cukai dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata selain kos, infrastruktur pengecasan juga menjadi cabaran utama, terutama bagi operasi jarak jauh antara negeri-negeri.
"Ini bukanlah masalah besar jika merujuk perkhidmatan trak yang beroperasi dalam Lembah Klang. Namun jika membabitkan operasi antara negeri-negeri, ini satu cabaran yang besar. Sebagai contoh, perjalanan dari Kedah ke Johor meliputi kira-kira 800-900 kilometer sedangkan jarak perjalanan biasa EV sekitar 300-400 kilometer dan ini memerlukan tempat pengecasan semula," katanya.
Loke berkata kesemua aspek itu adalah sebahagian daripada ekosistem yang diperlukan sebelum penggunaan EV dapat diperluaskan.
Beliau berkata walaupun penggunaan EV masih rendah dan kekangan penggunaannya tinggi, kerajaan perlu bertindak mengurangkan halangan itu bagi meningkatkan lagi penggunaan EV.
"Kita bukannya mengambil pendekatan keras (memaksa) industri menggunakan EV. Sebaliknya, lebih kepada pendekatan lebih mesra untuk menggalakkan serta memberi insentif untuk mereka pertimbangkan perkara itu,” katanya.
Selain itu, beliau berkata kementerian juga sedang meneliti rangka kerja bagi ujian kenderaan autonomi (AV) di Malaysia, termasuk mengenal pasti tapak ujian serta persekitaran sandbox yang sesuai.
“Dilemanya adalah walaupun kita mahu ujian dilakukan di atas jalan raya, namun ini berisiko jika tiada satu kerangka undang-undang berkaitan (diwujudkan).
"Jika berlaku kemalangan, siapa yang akan bertanggungjawab serta aspek lain yang berkaitan. Oleh itu, kita perlu menjadi lebih pragmatik dan praktikal kerana sebarang ujian harus dilaksanakan sebelum keseluruhan aspek terbabit dapat dibangunkan,” katanya.
-- BERNAMA
TAG : EV, trak, insentif, pengangkutan, Anthony Loke, diesel







