Garis panduan insentif kediaman mesra alam mula dilaksana 1 Julai - EXCO

22 Jun 2026, 10:30 AM
Garis panduan insentif kediaman mesra alam mula dilaksana 1 Julai - EXCO

SHAH ALAM, 22 JUN: Garis Panduan Pengurangan Cukai Taksiran bagi Permohonan Insentif Kediaman Mesra Alam Sekitar yang diumumkan menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 akan mula dilaksanakan pada 1 Julai ini.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim berkata inisiatif itu membolehkan pemilik kediaman yang melaksanakan pemasangan sistem solar, menggunakan peralatan cekap tenaga dan memasang sistem penuaian air hujan mulai 1 Januari 2026 dipertimbangkan untuk menerima pengurangan cukai taksiran, tertakluk kepada syarat yang akan ditetapkan.

Menurutnya, pemilikan kenderaan elektrik (EV), amalan kitar semula serta pengurangan sisa domestik mulai 1 Januari 2026 juga boleh dipertimbangkan untuk menerima insentif sama.

“Mengikut garis panduan kita, kita akan bagi pengurangan dalam konteks cukai taksiran mulai 1 Julai 2026.

“Ini satu perkembangan baru inisiatif baharu Kerajaan Negeri untuk menggalakkan stakeholder, penduduk Selangor menyokong inisiatif menggunakan tenaga hijau seperti pemasangan solar panel di rumah supaya boleh jimat elektrik,” katanya.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim bercakap kepada media selepas sesi penggulungan Pembentangan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 dalam Sidang Khas Dewan Negeri Selangor di Wisma Dewan Negeri Selangor pada 22 Jun 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Pembentangan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Pada Jumaat lalu, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari mengumumkan rebat cukai taksiran sehingga 100 peratus bagi pemasangan bumbung panel solar di kawasan perumahan sebagai galakan kepada rakyat untuk memanfaatkan teknologi hijau dan amalan mampan.

Menurut Amirudin, insentif itu turut merangkumi pemasangan sistem penuaian air hujan, aktiviti kitar semula, sistem pengkomposan sisa makanan dan unit pengecasan EV.

Mengulas isu pelupusan sisa teknologi hijau seperti panel solar dan bateri EV, Suee Lim berkata Kerajaan Negeri akan meneliti kaedah terbaik bagi memastikan proses berkenaan dilaksanakan secara mampan tanpa menjejaskan alam sekitar.

Katanya, penggunaan teknologi hijau perlu disertai perancangan menyeluruh termasuk aspek pelupusan kerana komponen seperti bateri EV dan panel solar mengandungi bahan yang berpotensi memberi kesan kepada alam sekitar jika tidak diuruskan dengan betul.

“Kita menggalakkan penggunaan tenaga hijau, namun pada masa sama perlu memikirkan kaedah pelupusan yang selamat. Negara-negara maju termasuk China juga berdepan cabaran sama dalam menguruskan sisa panel solar dan bateri berskala besar.

“Sebab itu pihak berkuasa tempatan dan Kerajaan Negeri akan meneliti amalan terbaik yang digunakan di negara lain bagi memastikan pelupusan dapat dilakukan mengikut piawaian serta mengurangkan risiko pencemaran,” katanya.

Penggunaan kenderaan elektrik (EV) semakin mendapat perhatian sebagai alternatif pengangkutan yang lebih mesra alam dan cekap tenaga.

Beliau berkata cadangan supaya universiti tempatan menjalankan kajian berkaitan kaedah pelupusan teknologi hijau akan diberi pertimbangan sewajarnya oleh Kerajaan Negeri.

Menurutnya, institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Islam Selangor (UIS) berpotensi menjadi rakan strategik dalam membangunkan penyelidikan serta projek perintis bagi mengenal pasti kaedah pelupusan yang lebih cekap, selamat dan mesra alam.

“Kajian oleh universiti tempatan amat penting untuk membantu kerajaan merangka dasar serta mencari penyelesaian terbaik yang sesuai dengan keperluan negara dan negeri pada masa hadapan,” katanya.

Selangor memperuntukkan RM355.06 juta bagi melaksanakan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang merangkumi dua fasa, iaitu RM145.8 juta bagi fasa pertama melibatkan tujuh inisiatif dan RM209.26 juta bagi fasa kedua menerusi 15 inisiatif tambahan.

Pakej itu diperkenalkan bagi membantu rakyat, usahawan, petani, nelayan, pencari kerja dan pemain industri menghadapi cabaran akibat ketidaktentuan ekonomi global.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.