Warga emas dipenjara 33 tahun kes rogol, amang seksual dua cucu

19 Jun 2026, 7:05 AM
Warga emas dipenjara 33 tahun kes rogol, amang seksual dua cucu

SHAH ALAM, 19 JUN: Lelaki warga emas dijatuhi hukuman penjara 33 tahun dan 14 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Muar hari ini selepas mengaku bersalah atas kesalahan merogol serta melakukan amang seksual terhadap dua cucu perempuannya yang berusia 12 dan sembilan tahun.

Hakim Mohd Khairi Haron menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati dengan pengakuan bersalah tertuduh berusia 67 tahun yang berdepan lima pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama dan keempat, tertuduh yang juga bapa kepada tiga anak didakwa melakukan amang seksual terhadap cucunya berusia 12 tahun di sebuah rumah di Batu Pahat.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Seksyen 14 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, manakala Seksyen 16 memperuntukkan hukuman tambahan penjara sehingga lima tahun serta sebatan tidak kurang dua kali.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa merogol mangsa sama di rumah berkenaan antara Januari hingga Disember tahun lalu, lapor Berita Harian.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun atau sebatan bagi setiap pertuduhan.

Sementara itu, bagi pertuduhan kelima, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi cucunya yang berusia sembilan tahun di lokasi sama pada tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ameerah Allaudeen, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selain hukuman penjara dan sebatan, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh tahanan serta berada di bawah pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman selaras Seksyen 26 dan 27 AKSTKK.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.