KUCHING, 2 SEPT: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, 24 sebatan dan denda RM40 juta terhadap seorang pengurus perhubungan sebuah bank antarabangsa yang mengaku bersalah atas 16 pertuduhan penipuan serta lapan pertuduhan pengubahan wang haram.
Kho Yung Kang, 39, didakwa menipu lapan warga emas berusia lingkungan 60 hingga 75 tahun membabitkan RM1.58 juta menerusi skim pelaburan bon tidak wujud dan melakukan pengubahan wang haram di bank tempat beliau bekerja antara September 2022 hingga Februari 2024.
Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Hakim Iris Awen Jon memerintahkan Kho dihukum penjara antara tiga dan empat tahun dengan satu sebatan bagi setiap pertuduhan menipu manakala bagi pertuduhan pengubahan wang haram, dia dihukum penjara tiga tahun, denda RM5 juta atau empat bulan penjara dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 23 Mei 2025.
Menurut fakta kes, Kho bertanggungjawab membantu pelanggan dalam urusan pelaburan termasuk amanah saham, bon dan akaun tetap selain urusan kiriman wang tempatan atau asing.
Modus operandi tertuduh ialah menawarkan suatu pelaburan baharu yang kononnya menjanjikan pulangan lebih tinggi kepada pelanggan bank tempat dia bekerja.
Kho kemudian memperoleh tandatangan dan pengesahan biometrik pelanggan ketika membuat representasi namun wang berkenaan tidak digunakan untuk tujuan pelaburan.
Sebaliknya, wang itu dipindahkan daripada akaun pelanggan ke akaun pihak ketiga melalui DuitNow, pindahan antara bank atau Perintah Juruwang tanpa pengetahuan atau persetujuan pelanggan untuk kegunaan peribadi tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Chuah Kai Sheng dan Maryam Jamielah Ab Manaff manakala Kho tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA
TAG: mahkamah, penipuan, pengubahan wang haram, pelaburan, bank





