SHAH ALAM, 19 JUN: Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) mengumumkan pelantikan Aslynda Mohd Dahlan sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) yang baharu berkuat kuasa serta-merta.
PADAT memaklumkan pelantikan itu dibuat bagi meneruskan agenda pemerkasaan warisan negeri serta mengukuhkan peranannya sebagai institusi peneraju dalam bidang permuziuman, kebudayaan dan warisan di Selangor.
Menurut agensi berkenaan, Aslynda mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran awam, perancangan pembangunan negeri, pengurusan kewangan, pembangunan dasar strategik kerajaan serta tadbir urus organisasi.
Sebelum menyertai PADAT, beliau pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Ketua Penolong Pegawai Kewangan Negeri di Perbendaharaan Negeri Selangor.
“Lembaga Pengarah, barisan pengurusan dan warga kerja PADAT yakin pengalaman dan kepakaran yang dimiliki akan terus memperkukuhkan usaha pemeliharaan, pemuliharaan dan pengembangan warisan negeri.
“PADAT akan terus memperkasakan institusi muzium sebagai pusat pendidikan, penyelidikan dan pelancongan budaya yang dinamik, di samping memperluaskan usaha pendokumentasian, pemuliharaan dan promosi warisan negeri agar kekal relevan kepada masyarakat masa kini dan generasi akan datang,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Untuk rekod, Aslynda juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah Seksyen Sektoral di Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN).
Menurut PADAT, pengalaman tersebut memberi Aslynda pendedahan langsung dalam pembangunan sektor kebudayaan, warisan serta industri kreatif negeri.
Selain itu, beliau turut pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah Wanita Berdaya Selangor (WBS) yang terlibat dalam pemantauan tadbir urus syarikat selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri.







