Antara komersial dan keaslian makanan tradisional

10 Mei 2026, 2:00 AM
Antara komersial dan keaslian makanan tradisional

Usaha memelihara warisan hidangan tradiosional bukan lagi pilihan tetapi suatu keperluan. Bukan sekadar memenuhi tuntutan kelaziman, sebaliknya ia bersifat mendesak.

Jika tidak, juadah yang pernah dilazimi masyarakat Melayu berisiko pupus, malah sebahagian besarnya sukar ditemui. Mutakhir ini, pasaran tempatan sesak dengan limpahan makanan luar.

Aneka produk masakan segera, dari dunia Barat hingga Asia Timur, menjadi rebutan anak muda dek faktor perubahan gaya hidup yang perlahan-lahan menghakis kelangsungan makanan warisan.

Bukan kerana juadah tradisional kurang enak atau rendah khasiat, sebaliknya generasi baharu yang dilanda arus pemodenan jarang didedahkan kepada keunikan hidangan warisan turun-temurun.

Malah, golongan pelapis dalam kalangan penggiat makanan tradisional semakin lama, semakin berkurangan. Jika situasi tersebut dibiar, peredaran zaman akan memadam nilai budaya sesebuah hidangan.

Ini realiti yang didepani Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT). Justeru, Pegawai Eksekutifnya Rozanna Rahmat menekankan peri pentingnya usaha mewarta makanan warisan pada peringkat negeri.

“Pada peringkat persekutuan, sebanyak 213 makanan diiktiraf warisan kebangsaan manakala di Selangor hanya dua sahaja iaitu nasi ambeng dan sate Kajang,” katanya kepada Media Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) Rozzana Rahmat. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Angka itu mencerminkan cabaran dalam mendokumentasi dan mengangkat makanan tradisi sebagai warisan negeri. Namun, pewartaan bukan sekadar pengumuman, sebaliknya diiringi pelbagai proses.

Ia antaranya meliputi kajian lapangan dan penilaian pakar sebelum sesuatu hidangan diangkat sebagai identiti rasmi. Ini demi memastikan keaslian resipi, bahan dan kaedah penyediaan terpelihara.

Atas kesedaran itu, PADAT giat memperluas usaha menambah senarai makanan warisan termasuk tat bengkulu dan punten, dua juadah yang memiliki nilai sejarah dan kaitan rapat dengan masyarakat.

Pendokumentasian dalam bentuk penerbitan dan platform digital turut dirancang bagi memudahkan akses kepada generasi baharu selain memastikan warisan makanan tidak hilang ditelan zaman.

Selain memelihara makanan warisan, sektor gastronomi sebenarnya boleh menjadi aset ekonomi, bukan semata-mata warisan budaya. Justeru, makanan tradisi yang sebelum ini hanya dinikmati masyarakat tertentu berupaya menjadi produk pelancongan bernilai tinggi.

“Gastronomi kini bukan sekadar warisan budaya tetapi turut menjadi produk pelancongan yang mampu memberi pulangan ekonomi kepada negeri,” katanya lagi.

Penganjuran Festival Makanan Warisan Selangor sejak 2022 menjadi antara inisiatif utama dalam mengangkat gastronomi sebagai daya tarikan pelancong khususnya dari negara luar.

Pelbagai hidangan dipersembah kepada umum melalui demonstrasi masakan, pertandingan kulinari dan pavilion makanan mengikut daerah. Pendekatan menyeluruh seumpama itu penting meliputi pewartaan, pendidikan, promosi dan penglibatan generasi muda sebagai jalur pewaris.

Petugas sibuk membuat persiapan dalam Majlis Pengisytiharan Sate Kajang Sebagai Makanan Warisan Selangor di Stadium Kajang pada 23 Ogos 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Pacu ekonomi

Dalam program sedemikian, bengkel dan pameran bukan sahaja meningkatkan kesedaran awam tetapi turut membuka ruang kepada generasi baharu untuk mengenali dan lebih menghargai juadah warisan.

“Kita bukan sahaja memperkenal makanan tradisi kepada masyarakat dan pelancong tetapi turut membantu menjana pendapatan pengusaha tempatan serta merangsang ekonomi setempat,” kata Rozanna.

Kesan limpahan ekonomi bukan sahaja dirasai pengusaha makanan, malah ia menjangkau rantaian lebih luas termasuk sektor perhotelan, pelancongan dan peruncitan.

Pun begitu, Rozanna mengingatkan sebarang usaha mengkomersial makanan warisan ke peringkat dunia, usah sampai menghapus jati identiti. Meski diadaptasi, teras keaslian termasuk resipi harus dipelihara.

Ini sekali gus berupaya mengimbangi pemeliharaan makanan tradisional dan tuntutan semasa. Pengkomersialan yang tidak terkawal atau semberono sifatnya berisiko mengubah identiti asal.

Namun pada akhirnya, kelangsungan makanan warisan bergantung kepada sejauh mana masyarakat menghargainya. Ia hanya akan terus hidup jika ia dinikmati, dikongsi dan diwarisi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.