Suami bukan 'bos', isteri bukan orang gaji

21 Jun 2026, 3:00 AM
Suami bukan 'bos', isteri bukan orang gaji
Suami bukan 'bos', isteri bukan orang gaji
Suami bukan 'bos', isteri bukan orang gaji

Seawal 5.30 pagi, Nazrulhisyam Mokhtar bangkit dari lena dan memulakan rutin harian membantu isteri menyiapkan dan menghantar anak-anak ke sekolah.

Sekembali ke rumah, bapa berusia 38 tahun itu tidak kekok mencapai peralatan mengemas rumah sebelum membuat persiapan untuk keluar menyambung tugasan harian.

Mengusahakan perniagaan makanan barat di Pasar Lambak Seksyen 15, Bangi menuntut usaha dan ketekunan yang tinggi. Namun, itu bukan alasan buatnya mengabaikan keperluan isteri dan tiga anak.

Bapa ini sanggup 'mencuri masa' menguruskan hal persekolahan anak-anak termasuk mengambil mereka pulang, membantu menyiapkan kerja sekolah dan menggosok seragam sebelum keluar mencari rezeki sehingga jam 1 pagi.

Meskipun hanya menamatkan urusan kerja ketika kebanyakan orang sudah dibuai mimpi, bekas jurutera itu tetap memastikan tanggungjawab di rumah tidak dipikul isterinya seorang diri.

Bagi Nazrulhisyam, rutin berkenaan bukan sesuatu yang luar biasa, sebaliknya sebahagian daripada tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa dalam sesebuah keluarga.

"Peranan bapa bukan sekadar mencari nafkah. Zaman dulu mungkin kita nampak ayah keluar cari rezeki, ibu jaga rumah dan anak-anak. Tapi zaman dah berubah, dengan kos sara hidup yang tinggi, dua-duanya perlu bekerja.

"Jadi stigma bahawa hanya ibu yang perlu mengurus rumah tangga dah tak boleh pakai lagi," katanya kepada Media Selangor.

Nazrulhisyam turut menolak tanggapan segelintir pihak yang mendakwa lelaki yang membantu mengurus rumah tangga sebagai 'takut isteri'.

Kesempatan menyiapkan kerja rumah sebelum memulakan perniagaan, baginya satu usaha untuk meringankan beban isteri apabila pulang dari tempat kerja.

"Bagi saya, isteri bukan orang gaji yang kita kena suruh buat semua kerja sebab dia pun bekerja juga. Bila berkahwin, kita saling melengkapi. Apa yang kurang pada saya, dia cukupkan. Apa yang kurang pada dia, saya cukupkan.

Jejaka kelahiran Sarawak itu pernah diuji hilang pekerjaan, namun keadaan itu tidak menghalangnya daripada menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Beliau yang sudah sembilan tahun bergelar bapa berpendapat membantu pasangan tidak sepatutnya dianggap sebagai satu pengorbanan atau pelaburan untuk mendapat balasan pada masa depan.

"Rumah tangga ini bukan dibina oleh siapa yang paling kuat. Kita kena berganding bahu untuk jadi kuat bersama," katanya.

Nazrulhisyam Mokhtar bersama ahli keluarganya di kediamannya di Kajang, Selangor pada 14 Jun 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Mengulas mengenai 'me time', Nazrulhisyam berkata ia penting buat ibu bapa bagi mengelak keletihan melampau akibat tekanan kerja serta tanggungjawab mengurus keluarga.

"Saya selalu cakap dengan isteri, kalau penat, tak perlu buat dulu. Rehat sampai dah ada tenaga baru buat. Sebab kalau buat dalam keadaan penat, akan jadi emosi.

"Tidak perlu pun pergi bercuti mahal-mahal. Kalau dapat berjalan dekat taman, beli-belah atau minum kopi pun cukup. Untuk saya sendiri, kadang-kadang saya akan bawa anak-anak ke tempat lain supaya isteri boleh luangkan masa untuk diri sendiri juga," katanya yang kadang-kala turut meluangkan masa bertemu rakan-rakan.

Beliau menegaskan menjadi bapa bukan sekadar menyediakan keperluan kewangan, sebaliknya perlu hadir dalam kehidupan anak-anak sebagai pembimbing dan sumber sokongan.

"Walaupun saya sibuk, saya tetap akan cari masa untuk ajar mereka ulang kaji dan mengaji. Kalau mereka ada aktiviti sekolah, kita kena sokong. Mungkin ada ayah-ayah yang tak ambil tahu, tapi bila dua-dua ada, anak lebih seronok," katanya.

Wawancara Setiausaha Persatuan Hak Bapa Malaysia Sheikh Faleigh Sheikh Mansor di Pejabat Media Selangor, Shah Alam pada 25 Mei 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Tiada gender bias

Pengasas Persatuan Hak Bapa Malaysia, Sheikh Faleigh Sheikh Mansor pula berkata masyarakat kini semakin menerima hakikat bahawa tugas rumah tangga dan membesarkan anak bukan lagi tanggungjawab khusus wanita.

"Konteks masyarakat dan berubah lama, tak ada lagi gender bias yang mana bapa kena bekerja, ibu berada di rumah.

"Stigma lelaki kena pergi kerja dan perempuan jaga rumah itu adalah pemikiran lama. Sepatutnya dah tak ada stigma sebegitu. Orang yang fikir macam tu dah jadi 'sexist'," katanya.

Perubahan itu didorong oleh faktor ekonomi selain kesedaran bahawa sifat penyayang dan keupayaan membesarkan anak bukan hanya dimiliki oleh kaum ibu.

Baginya, pasangan suami isteri perlu mengamalkan konsep saling membantu dan mengelak menuding jadi satu sama lain terutama ketika berdepan cabaran kewangan atau tekanan hidup.

Sheikh Faleigh menegaskan keperluan 'me time' perlu diberikan secara adil kepada kedua-dua pasangan kerana ramai isteri masih tidak memperoleh ruang yang sama walaupun turut bekerja dan mengurus keluarga.

"Kalau suami boleh pergi main bola, isteri pun nak juga jumpa kawan-kawan atau beli-belah. Tak adil kalau isteri tak dapat layanan yang sama. Adakah ia berlaku, ya. 99 peratus. Sebab itu kena ada 'give and take'.

"Lelaki itu sendiri, kalau isteri tak minta, tak semestinya dia tak nak. Kita kena lebih memerhati," katanya.

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.