SUKMA 2026 buka peluang ekonomi penduduk Tanjung Sepat

2 Ogos 2026, 7:00 AM
SUKMA 2026 buka peluang ekonomi penduduk Tanjung Sepat
SUKMA 2026 buka peluang ekonomi penduduk Tanjung Sepat
SUKMA 2026 buka peluang ekonomi penduduk Tanjung Sepat
SUKMA 2026 buka peluang ekonomi penduduk Tanjung Sepat

KUALA LANGAT, 2 OGOS: Bahang Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 mula dirasai penduduk Tanjung Sepat apabila penganjuran temasya berkenaan dijangka membawa limpahan ekonomi menerusi peningkatan permintaan penginapan, perniagaan makanan serta produk tempatan.

EXCO Perumahan dan Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah berkata kebanyakkan inap desa dan hotel di sekitar kawasan itu telah ditempah lebih awal oleh kontinjen serta pengunjung yang bakal hadir menyaksikan temasya sukan berkenaan.

Menurutnya, keadaan itu menunjukkan penganjuran SUKMA bukan sahaja memberi manfaat kepada pembangunan sukan, malah membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat.

Ahli Dewan Negeri Tanjong Sepat, Datuk Borhan Aman Shah bercakap kepada media ketika Kuala Langat Merdeka Run sempena Larian Obor Sukma Selangor 2026 di Dataran Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 2 Ogos 2026. Foto KHAIRUL HELMY/MEDIA SELANGOR

"Homestay dan inap desa di kawasan ini telah habis ditempah sejak satu hingga dua bulan lalu. Ini membuktikan SUKMA bukan sahaja memberi manfaat kepada sektor sukan, malah turut merangsang aktiviti ekonomi setempat," katanya kepada media selepas Program Larian Obor SUKMA 2026 dan Merdeka Run di Pantai Batu Laut, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kehadiran atlet, ahli keluarga dan penyokong dijangka meningkatkan permintaan terhadap pelbagai perkhidmatan termasuk penginapan, makanan serta produk keluaran usahawan tempatan sepanjang temasya berlangsung.

"Atlet bukan datang bersendirian, mereka hadir bersama ibu bapa, ahli keluarga dan penyokong. Sebab itu kita memberi ruang kepada usahawan kecil dan industri kecil dan sederhana (IKS) untuk memasarkan produk mereka sepanjang temasya berlangsung," katanya.

EXCO Belia, Sukan dan Pengerusi SUKMA XXII & Para SUKMA Selangor 2026, Mohd Najwan Halimi bersama Ahli Dewan Negeri Tanjong Sepat, Datuk Borhan Aman Shah dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat Amri Ismail bergambar ketika Kuala Langat Merdeka Run sempena Larian Obor Sukma Selangor 2026 di Dataran Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 2 Ogos 2026. Foto KHAIRUL HELMY/MEDIA SELANGOR

Borhan yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat berkata,penganjuran SUKMA 2026 turut memberi nilai tambah kepada Pantai Batu Laut menerusi kerja naik taraf kemudahan dan prasarana sebagai lokasi pertandingan perahu layar.

Katanya, penambahbaikan berkenaan bukan sahaja bagi memastikan kelancaran temasya, malah mampu memberi manfaat jangka panjang kepada sektor pelancongan dan ekonomi Kuala Langat.

Sebagai bapak angkat pasukan perahu layar Selangor, beliau berkata pihaknya akan memberikan sokongan penuh bagi memastikan kontinjen negeri mencapai prestasi terbaik selain membantu menjayakan penganjuran SUKMA 2026.

"Sebelum ini kita pernah menjadi tuan rumah juga. Kali ini apabila Selangor kembali menjadi tuan rumah selepas sekian lama, sudah tentu pembangunan dan prasarana di kawasan ini turut dipertingkatkan," tambahnya.

Antara para peserta yang menyertai Kuala Langat Merdeka Run sempena Larian Obor SUKMA Selangor 2026 di Dataran Pantai Batu Laut, Kuala Langat pada 2 Ogos 2026. Foto KHAIRUL HELMY/MEDIA SELANGOR

SUKMA edisi ke-22 akan mempertandingkan 469 acara membabitkan 37 jenis sukan di 52 venue yang terletak di sembilan daerah di Selangor.

Sementara itu, Para SUKMA akan mempertandingkan 369 acara dalam 10 jenis sukan iaitu renang, olahraga, badminton, ping pong, boling tenpin, boling padang, memanah, catur, boccia dan powerlifting.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.