SHAH ALAM, 24 OKT: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 34 warga asing yang disyaki terbabit dalam sindiket penipuan pelaburan selepas menyerbu sebuah inap desa di Klebang Kechil, Melaka, kelmarin.
Serbuan pada 10.35 pagi itu dilakukan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta JIM Melaka, hasil risikan selama sebulan, lapor BH Online.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 29 lelaki dan dua wanita warga China serta seorang lelaki Taiwan, berusia antara 20 hingga 51 tahun.
Turut ditahan dua lelaki tempatan berusia 22 dan 32 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penjaga premis dengan menerima upah RM3,000 sebulan untuk mengawasi pekerja, selain menguruskan bekalan makanan dan keperluan harian.
Menurut Zakaria, siasatan awal mendapati inap desa itu dijadikan pusat operasi sindiket yang dipercayai memperdaya warga Korea di negara asal mereka melalui tawaran pelaburan dengan janji pulangan tinggi dalam tempoh singkat.
“Sindiket yang dikendalikan oleh operator warga China dan Taiwan ini menggunakan platform media sosial serta aplikasi komunikasi untuk memperdaya warga Korea di negara asal mereka melalui tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat,” katanya.
Dalam serbuan itu, pihak berkuasa merampas pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk kegiatan penipuan, termasuk 309 telefon bimbit, 45 set komputer, lima penghala internet, satu suis rangkaian gigabit, satu peranti Wi-Fi mudah alih, alat kawalan jauh pintu pagar dan 21 buku nota mengandungi arahan penipuan, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM318,600.
Zakaria berkata semakan awal mendapati tiga warga China tinggal lebih masa di negara ini, manakala warga asing lain tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah ketika pemeriksaan dijalankan.
Dua lelaki tempatan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, manakala warga asing terbabit ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) akta sama.
Kesemua tahanan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.







