SHAH ALAM, 18 JUN: Lapan negeri termasuk Selangor dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat serta angin kencang sehingga jam 7 malam ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan kawasan terlibat meliputi Langkawi di Kedah; Bentong, Maran dan Rompin di Pahang; Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat di Selangor; Jelebu di Negeri Sembilan; serta Segamat, Kluang, Mersing, Kulai dan Kota Tinggi di Johor.
Di Sarawak, amaran melibatkan Kuching, Samarahan, Asajaya, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Tatau, Sebauh, Marudi dan Limbang.
Sementara itu, di Sabah kawasan yang dijangka mengalami cuaca buruk ialah Sipitang, Kuala Penyu, Beaufort, Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud, Kinabatangan, Kota Marudu dan Kudat, selain Wilayah Persekutuan Labuan.
"Amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi satu jam.
"Amaran berkenaan merupakan amaran cuaca jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran," katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai di kawasan terlibat dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan cuaca semasa menerusi laman sesawang rasmi MetMalaysia, aplikasi myCuaca atau saluran media sosial agensi berkenaan.






