KLANG, 18 JUN: Kemudahan pembuatan produk tenusu milik Fraser and Neave Holdings Bhd (F&N) di Pulau Indah muncul sebagai hab pelaburan dan eksport penting yang menghasilkan produk tenusu serta minuman untuk pasaran Malaysia dan 45 negara, sekali gus menyumbang manfaat ekonomi yang besar kepada Selangor.
Pengarah Urusan Makanan dan Libat Urus Industri F&N, Datuk Raffiq Mohammad Ariff berkata kemudahan itu menyokong ekonomi tempatan melalui peluang pekerjaan, aktiviti rantaian bekalan serta perbelanjaan tahunan bernilai jutaan ringgit bagi mendapatkan bahan mentah.
Menurutnya, lokasi strategik kemudahan itu berhampiran Westports dan rangkaian logistik utama membolehkan pengedaran produk dilakukan dengan lebih cekap ke pasaran domestik dan antarabangsa.

“Produk yang dihasilkan di kemudahan ini bukan sahaja dinikmati rakyat Malaysia, malah dieksport ke 45 negara meliputi ASEAN, Asia Pasifik, Timur Tengah, Eropah dan Amerika Tengah,” katanya ketika berucap sempena Program Penaung Diraja Bersama Industri anjuran Invest Selangor Bhd di F&N Dairies Manufacturing Sdn Bhd, Pulau Indah hari ini.
Lawatan itu diketuai Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan turut disertai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Raffiq berkata pelaburan F&N bernilai RM370 juta di kemudahan Pulau Indah yang menghasilkan pelbagai produk tenusu dan minuman termasuk susu pekat manis, susu sejat, krimer tenusu dan minuman sedia diminum mencerminkan keyakinan syarikat terhadap Selangor sebagai pangkalan strategik pembuatan dan eksport.
“Selain menyediakan peluang pekerjaan kepada komuniti setempat, operasi kami turut menyokong rantaian bekalan yang luas melibatkan pembekal, pengedar dan pelbagai industri sokongan di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata syarikat itu menyuntik lebih RM200 juta setahun ke dalam ekonomi tempatan melalui perolehan bahan mentah utama seperti gula dan minyak sawit, dengan pembelian minyak sawit sahaja memberi manfaat kepada sehingga 500 pekebun kecil.

Produk F&N, khususnya rangkaian susu pekatnya, mencatat kadar penembusan isi rumah melebihi 60 peratus di Malaysia, sekali gus mencerminkan tahap kepercayaan pengguna yang tinggi terhadap jenama itu.
Katanya, kemudahan tersebut akan terus memainkan peranan penting dalam menyokong agenda keselamatan makanan negara serta memperkukuh industri tenusu menerusi keupayaan pengeluaran berskala besar yang fleksibel.
Sementara itu, Raffiq berkata lawatan Raja Muda Selangor ke kemudahan berkenaan meneruskan hubungan erat yang sekian lama terjalin antara institusi diraja Selangor dan F&N dalam menyokong pembangunan syarikat itu di negeri berkenaan.
Hubungan itu bermula pada 1997 apabila Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj berkenan melawat kilang minuman ringan F&N di Shah Alam, sebelum kilang tenusu Pulau Indah dirasmikan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 2013.
“Kami amat berbesar hati apabila Raja Muda Selangor meneruskan legasi ini menerusi lawatan baginda ke kemudahan yang sama hari ini.
“Ia mencerminkan hubungan yang kukuh dan berterusan antara Institusi Diraja Selangor dan F&N sepanjang perjalanan kami membangunkan industri makanan dan minuman di negeri ini,” katanya.








