KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) diminta meneliti secara menyeluruh titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berhubung kewajaran menangguhkan temasya SUKMA 2026 di negeri itu sebelum membuat keputusan segera mengenainya.
Penganalisis sukan tanah air Datuk Dr Pekan Ramli berkata titah baginda yang menzahirkan kebimbangan terhadap impak krisis di Asia Barat merupakan pandangan jauh yang wajar dihormati semua pihak terlibat.
Beliau berkata sebagai negeri tuan rumah, pandangan baginda mempunyai asas kukuh memandangkan situasi geopolitik dunia ketika ini mampu memberi kesan rantaian kepada ekonomi domestik.
“Kita perlu akur dengan titah berkenaan. Apabila Tuanku Sultan Selangor bertitah sedemikian, semua pihak perlu berbincang dengan baik. Jawatankuasa Tertinggi SUKMA perlu melihat perkara ini sebagai isu utama yang perlu diputuskan segera kerana SUKMA dijadualkan pada Ogos ini.
“Kita faham jika krisis di Asia Barat berlanjutan sehingga Ogos, dan sekiranya negara masih berdepan krisis minyak serta lain-lain, kos pasti akan meningkat berlipat kali ganda,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Pekan berkata kenaikan indeks harga barang dan perkhidmatan juga boleh memberi tekanan kewangan kepada setiap kontinjen negeri yang bertanding, khususnya Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun, beliau mengakui kepentingan SUKMA 2026 sebagai medan saringan utama atlet negara ke Sukan SEA 2027 yang akan dianjurkan Malaysia.
“Kita juga perlu mengambil kira persiapan menghadapi Sukan SEA 2027. Jika ditangguhkan, ia boleh menjejaskan jadual persiapan kontinjen dan proses pemilihan atlet.
“Contohnya pada SUKMA 2022 yang ditangguhkan, ia memberi kesan kepada syarat penyertaan umur, termasuk rekod kejohanan atlet berusia lebih 21 tahun yang tidak diambil kira,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, memaklumkan kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh Menteri Belia dan Sukan.
-- LAGI
SUKAN-SUKMA (PEKAN) 3 (AKHR) KUALA LUMPUR
Terdahulu, Sultan Sharafuddin bertitah penganjuran SUKMA Selangor 2026 wajar ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan sehingga pembangunan semula Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari pula memaklumkan kementerian akan mendapatkan pandangan Kerajaan Negeri Selangor sebelum mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2026 diadakan bagi membincangkan perkara itu secara terperinci bersama semua negeri dan MSN.
Kerajaan Negeri Selangor turut memaklumkan akan mempertimbangkan pandangan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berhubung titah tersebut.
SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos.
-- BERNAMA
TAG: sukan, SUKMA 2026, Selangor, tangguh








