SHAH ALAM, 18 JUN: Isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan pelbagai pihak bagi memastikan sokongan berkesan dapat diberikan kepada mereka yang memerlukan.
EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata tanggungjawab menangani isu tersebut tidak boleh dipikul oleh sektor kesihatan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif masyarakat secara keseluruhan.
Menurut beliau, pendekatan seluruh masyarakat (whole-of-society) perlu diterapkan bagi menangani cabaran kesihatan mental yang semakin kompleks, khususnya dalam kalangan generasi muda.
"Kesihatan mental bukan sekadar isu perubatan tetapi melibatkan aspek kemanusiaan, pendidikan dan masa depan negara," katanya dalam ucapan perasmian majlis Karnival Program Rintis Kesedaran Kesihatan Mental Remaja (PeerZ).
Jamaliah berkata kerjasama rentas sektor penting bagi memastikan individu yang memerlukan bantuan dapat dikenal pasti dan menerima sokongan pada peringkat awal.

"Apabila semua pihak memainkan peranan dalam hal ini, kita dapat mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan menyokong kesejahteraan mental masyarakat," tambahnya.
Beliau turut menegaskan usaha menghapuskan stigma terhadap isu kesihatan mental perlu diperkasakan agar lebih ramai individu berani mendapatkan bantuan profesional.
Katanya, masih ramai yang memilih untuk memendam masalah kerana bimbang dilabel atau dipandang negatif oleh masyarakat.
Sehubungan itu, budaya saling memahami dan menyokong perlu dipupuk sejak di bangku sekolah, dalam institusi keluarga serta komuniti setempat.
"Pendekatan bersepadu seperti yang diterapkan menerusi program PeerZ mampu menjadi platform penting untuk memperkukuh kesedaran serta sokongan kesihatan mental dalam kalangan generasi muda," katanya.







