MEXICO CITY, 18 JUN: Pemain sayap Luis Diaz mempamerkan aksi cemerlang untuk membantu Colombia memulakan kempen Piala Dunia dengan kemenangan 3-1 ke atas Uzbekistan dalam aksi Kumpulan K di Stadium Mexico City, hari ini.
Colombia mendahului pada minit ke-41 menerusi Daniel Munoz yang menyempurnakan hantaran lambung menarik daripada Diaz selepas berjaya melepasi kawalan pertahanan lawan.
Uzbekistan bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-60 apabila rembatan penyerang Eldor Shomurodov gagal ditangkap kemas penjaga gol Camilo Vargas, sebelum Abbosbek Fayzullaev pantas menanduk masuk bola muntah dari jarak dekat.
Bagaimanapun, kedudukan terikat itu hanya bertahan lima minit apabila Diaz kembali meletakkan Colombia di hadapan menerusi penyudah kemas dari sebelah kiri kawasan penalti.
Pemain gantian Jaminton Campaz kemudian mengesahkan kemenangan Colombia apabila menanduk masuk gol ketiga pada masa kecederaan.
Kemenangan itu membolehkan Colombia mengutip tiga mata pertama dan mendahului Kumpulan K selepas satu lagi perlawanan kumpulan menyaksikan Portugal dan Republik Demokratik Congo seri 1-1.
Colombia akan meneruskan cabaran menentang Republik Demokratik Congo di Guadalajara, Rabu depan, manakala Uzbekistan dijadual berdepan Portugal di Houston.







