Kerja bina jejambat: Sebahagian Jalan Rawang ditutup dua bulan

18 Jun 2026, 4:04 AM
Kerja bina jejambat: Sebahagian Jalan Rawang ditutup dua bulan

SHAH ALAM, 18 JUN: Sebahagian laluan di Jalan Rawang FT3209 ditutup dan lencongan trafik diaktifkan selama dua bulan bermula hari ini bagi memberi laluan kepada kerja pembinaan asas jejambat.

Menurut makluman Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dikongsikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang Chua Wei Kiat, penutupan itu melibatkan laluan sekitar CH900 LHS (Simpang Kuala Garing) hingga CH1000 LHS (Simpang YTL) di bawah Projek Menaik Taraf Jalan Perindustrian Rawang (FT3209) di daerah Gombak.

Kawasan kerja yang terlibat meliputi jajaran sepanjang kira-kira 100 meter bagi membolehkan pembinaan asas jejambat dilaksanakan.

"Lencongan trafik akan bermula pada jam 10 pagi, 18 Jun 2026 dan berterusan sehingga 18 Ogos 2026 bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan asas jejambat dilaksanakan dengan selamat dan teratur.

"Pengguna jalan raya dinasihatkan memperlahankan kenderaan serta mematuhi papan tanda trafik yang disediakan bagi kelancaran perjalanan," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Projek menaik taraf Jalan Perindustrian Rawang dilaksanakan bagi meningkatkan kapasiti jalan selain membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di laluan berkenaan.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya disaran merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi arahan pihak berkuasa sepanjang tempoh pelaksanaan kerja.

Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut berhubung kerja pembinaan atau lencongan trafik boleh menghubungi pihak kontraktor di talian 014-284 6431 atau 011-1453 0014.

Kategorihebahan

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.